Berita

Taklimat harian PMO tidak bertindih dengan tugas Jurucakap Kerajaan Perpaduan

- Diterbit 3 Mac 2025 12:22 PM MYT

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) menegaskan bahawa Taklimat Harian yang disampaikan setiap hari tidak bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap kepada struktur komunikasi kerajaan.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, peranan Taklimat Harian adalah untuk memberi tumpuan kepada perkembangan harian Perdana Menteri, penjelasan isu-isu semasa yang mendesak, serta arahan kepada kementerian dan agensi berkaitan pelaksanaan dasar kerajaan.

“Taklimat Harian PMO bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan, tetapi menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi kerajaan,” katanya dalam sesi taklimat tersebut hari ini.

Menurut Tunku Nashrul, sebagai jurucakap Kerajaan MADANI, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bertanggungjawab menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, selain mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam taklimat sama, Tunku Nashrul turut mengulangi pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyatakan beliau akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025.

RUU ini dijangka memperkukuh sistem demokrasi negara dengan memberikan lebih kebebasan kepada Parlimen dalam menjalankan peranan dan tanggungjawabnya.

“Perdana Menteri yakin RUU ini akan mengangkat Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara dan menjulang proses demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap RUU ini mendapat sokongan penuh daripada setiap Ahli Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Tunku Nashrul turut menjelaskan bahawa Perdana Menteri mengambil maklum isu bekalan beras putih tempatan, yang menjadi perhatian rakyat ketika ini.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah diarahkan untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

“Pemulihan ini sedang dilaksanakan secara berfasa dan Perdana Menteri telah mengarahkan kementerian berkenaan untuk memaklumkan perkembangan terkini secara berkala kepada rakyat,” katanya.

Taklimat Harian PMO dijangka diteruskan dalam sesi petang bagi menyampaikan perkembangan lanjut berkaitan isu-isu semasa negara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas