Berita

Tak ubah seperti ‘pesta makan’

DENGAN kos sara hidup yang semakin meningkat, semua pihak perlu bersederhana dan tidak boros dalam berbelanja terutama ketika bulan Ramadan.
- Diterbit 6 Mac 2025 3:05 PM MYT

TERDAPAT dalam kalangan umat Islam menjadikan waktu berbuka puasa tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’.

Demikian ditegaskan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader melihat kepada jumlah makanan yang dibazirkan, kemudiannya dilupuskan di tapak pelupusan iaitu sebanyak 86,766.29 tan sepanjang Ramadan 2023.

Malah tegas beliau masyarakat seolah-olah mengubah bulan puasa kepada ‘bulan makan’.

“Disebabkan terlalu banyak makanan yang dihidangkan, kebanyakannya tidak termakan dan akhirnya terbuang begitu sahaja.

MOHIDEEN

“Pembaziran seumpama ini amat dilarang oleh Islam dan menyalahi konsep Ramadan itu sendiri,” katanya kepada Wilayahku.

Katanya sepanjang pemerhatian CAP, kebanyakan lebihan makanan yang dibuang adalah nasi, pasta, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Beliau menambah purata pembaziran ketika Ramadan adalah 15 hingga 20% lebih tinggi berbanding pada bulan-bulan lain.

“Hasil tinjauan ke atas restoran dan hotel-hotel yang menganjurkan bufet Ramadan mendapati pemilik restoran mendedahkan bahawa kira-kira lima hingga 10% makanan yang dimasak tetapi tidak dapat dijual dibuang begitu sahaja setiap hari.

“Pada masa yang sama, 10 peratus makanan yang dipesan oleh pelanggan, tidak habis dimakan juga turut dibuang. Sepanjang Ramadan umat Islam digalakkan memakan makanan yang berkhasiat semasa berbuka dan bersahur serta ditegah daripada melakukan pembaziran.

“Tetapi malangnya masih ramai daripada kita yang memasak terlalu banyak hidangan atau dengan jalan paling mudah membeli pelbagai juadah makanan dan minuman yang banyak dijual di pasar dan bazar Ramadan,” katanya.

Menurut Mohideen sikap yang lebih pentingkan untuk menjamu selera menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat tidak berkesan, tidak dapat dihayati dengan sempurna.

Katanya, sikap lahap dan berlebih-lebihan ketika makan serta pembaziran yang berlaku pada setiap kali tibanya Ramadan merupakan sesuatu yang menyedihkan.

Ramadan jelas beliau sepatutnya menjadi madrasah sebagai latihan bagi mendidik umat Islam bersederhana, berjimat cermat, tidak boros serta berhemah ketika berbelanja.

“Akan tetapi apa yang berlaku ialah sebaliknya apabila masyarakat sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka puasa.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ini umat Islam digalakkan agar berjimat cermat dan bersederhana dalam perbelanjaan dan pemilihan juadah berbuka puasa agar tidak berakhir dengan pembaziran dan berhutang.

“Elakkan penyediaan juadah berbuka berlebihan, makanan yang berlebihan semasa berbuka, membazir dalam membuat persiapan raya. Sebagai umat Islam, tidak perlulah kita berlebih-lebihan atau bermegah-megah berbelanja sehingga membawa kepada pembaziran,” katanya.

Beliau juga menegaskan peringatan Allah SWT bahawa orang yang membazir adalah bersaudara dengan syaitan.

“Umat Islam perlu kembali kepada amalan mulia ketika Ramadan. Antaranya berpuasa bukan berpesta, berhemah bukan membazir, mengutamakan amalan kerohanian bukan kebendaan, yang lebih penting menahan diri, bukan mengikut nafsu,” katanya.

Bagi mengurangkan pembaziran makanan jelasnya adalah digalakkan untuk diberikan kepada asnaf, gelandangan dan juga bank makanan (food bank). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas