OLEH SABRINA SABRE & DIANA AMIR
SEBELUM ini media sosial digemparkan dengan penemuan gula-gula berbentuk Teddy Bear yang dipercayai sejenis dadah ekstasi yang diedarkan kepada kanak-kanak di luar sekolah.
Berikutan itu, ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergaulan anak setiap hari tambahan pula kini terdapat trend penjualan dadah yang semakin moden menerusi aplikasi WeChat, WhatsApp dan lain-lain secara dalam talian.
Menurut ibu kepada tiga orang anak, Nur Aliza Mohammad, 48, dia memandang serius mengenai berita yang tular itu meskipun gambar terbabit belum dibukti kesahihannya.
“Saya percaya itu antara kaedah atau teknik yang dilakukan kartel atau sindiket dadah untuk bolos daripada penguatkuasaan.
“Dalam masa sama bentuk gula-gula itu juga dapat menarik minat pelajar dan remaja utuk membeli dan mencuba tanpa mengetahui ia ‘beracun’,” katanya.
Nur Aliza berkata antara lain kebimbangannya adalah gula-gula tersebut bukan sahaja menjadikan pelajar berpotensi menghisap dadah malah menjadi pengedar pada usia yang muda.
“Orang dewasa tahu hukuman yang menanti pengedar dadah namun kanak-kanak mungkin tak didedahkan dengan perkara demikian membuatkan mereka boleh tersilap langkah.
“Justeru sebagai ibu bapa‚ saya sering memantau pergaulan anak-anak terutama di media sosial. Jenayah tanpa sempadan ini boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Ketegasan ibu bapa dapat menghindarkan anak-anak daripada terjebak kepada kelakuan seks, pengambilan dadah dan sebagainya.
“Selain itu, saya juga akan memberitahu anak-anak mengenai hukuman berat seperti gantung sampai mati dan sebat yang menanti pengedar mahupun penagih dadah bagi memberi kesedaran bahawa perkara tersebut adalah salah di sisi undang-undang negara,” katanya.
Berkongsi lanjut, Nur Aliza berkata dia mampu menarik nafas lega kerana gula-gula yang dikatakan dadah itu tidak berada di kawasan sekolah anaknya.
“Anak saya tidak mengetahui mengenai kewujudan gula-gula tersebut dan menasihati mereka untuk sentiasa bertanya saya terlebih dahulu sekiranya ingin membeli apa sahaja jenis gula-gula, makanan ringan dan sebagainya.
“Perkara tersebut juga menandakan bahawa kawasan sekolah anak saya selamat dan diharapkan kerjasama baik daripada pihak guru dalam menjadikan sekolah kawasan selamat diteruskan demi keselamatan pelajar,” katanya.
Dalam pada itu‚ pempengaruh media sosial, Muhammad Izzad Daniel Abdullah menjelaskan bahawa ini merupakan satu sindiket baharu di mana gula-gula tersebut berbentuk patung beruang untuk menarik minat pelajar.
“Dadah baharu di sekolah kerana ibarat spesies ubat goyang.
“Tolong sampaikan ini walaupun anda tidak mempunyai anak di sekolah. Ibu bapa harus tahu tentang ubat ini. Ini adalah ubat baharu yang dikenali sebagai strawberry quick.
“Terdapat satu perkara yang sangat menakutkan berlaku di sekolah sekarang yang perlu kita semua sedari. Terdapat sejenis meth kristal yang beredar yang kelihatan seperti batu pop strawberi (gula-gula yang mendesis dan ‘meletus’ di mulut anda),” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Muhammad Izzad berkata gula-gula berbentuk patung beruang ini mempunyai bau seperti buah strawberi dan diedarkan kepada kanak-kanak di pekarangan sekolah.
“Sesiapa sahaja yang termakan gula-gula bahaya ini akan dikejarkan ke hospital dalam keadaan teruk kerana percaya makanan itu tidak berbahaya.
“Kanak-kanak memanggilnya meth strawberry atau strawberi cepat. Mereka termakan pemikiran ini bahawa ia adalah gula-gula dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan teruk,” jelasnya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Henry Gurney.
Tambah Muhammad Izzad diharapkan ibu bapa di luar sana supaya sentiasa menasihati anak agar tidak menerima gula-gula yang kelihatan seperti patung beruang ini terutamanya daripada orang yang tidak dikenali.
“Ia juga terdapat dalam coklat mentega kacang, cola, ceri, anggur dan oren. Tolong arahkan anak-anak anda untuk tidak menerima gula-gula ini daripada rakan-rakan mereka juga,” katanya. – WILAYAHKU