Berita

Tahap keterjaminan makanan negara kekal stabil

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 18 Disember 2024 6:42 PM MYT

MESYUARAT Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 telah meneliti dua kertas kerja yang merangkumi satu (1) kertas pembentangan khas dan satu (1) kertas pertimbangan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, antara kertas yang diteliti termasuklah hasil dapatan Kajian Industri Padi dan Beras di Malaysia oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
mengenai aspek pengeluaran serta tadbir urus industri padi dan beras.

“Berdasarkan syor dari MyCC, mesyuarat telah meminta KPKM untuk mengkaji mekanisme kawalan percampuran beras putih tempatan dan beras putih import beserta simulasi harga.

“Bagi membantu pesawah serta industri padi dan beras, KPKM juga telah diminta untuk mengkaji bentuk bantuan dan sokongan yang boleh diberikan kepada golongan ini bagi menyerap kesan kenaikan kos pengeluaran padi dan beras. Kajian-kajian ini hendaklah disediakan secara komprehensif dan dibentangkan ke kabinet pada bulan Januari 2025,” ujarnya.

Di samping itu, mesyuarat juga telah meneliti kertas berkenaan mekanisme subsidi telur ayam dan kesannya kepada industri di mana satu sesi libat urus bersama pemain industri juga akan diadakan bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan subsidi telur ayam.

“Mesyuarat turut bersetuju agar inisiatif berkaitan industri padi dan beras serta telur dilaksanakan segera bagi memastikan kemampanan industri serta ketersediaan bekalan komoditi makanan tersebut sentiasa terjamin.

“KPKM komited untuk memastikan keputusan yang diambil, akan memberikan keseimbangan dan tidak akan membebankan rakyat serta industri, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu KeMampanan, KesejAhteraan dan Ihsan,” ujar beliau.

Terdahulu, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetengahkan aspirasi kerajaan dalam merangka dasar dan strategi keterjaminan makanan yang lebih berdaya saing dan mampan bagi memastikan tahap
keterjaminan makanan negara kekal stabil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas