Cakna

Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP: Tetap hala tuju lebih efektif

SEKITAR sesi mesyuarat Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP yang diadakan di Wisma YWP, baru-baru ini.
- Diterbit 15 Disember 2023 9:00 AM MYT

SEJAK dilancarkan pada awal Jun lalu, Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP yang digerakkan di bawah inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjaya membantu warga kota yang memerlukan.

Justeru itu, bagi memperkasakan lagi inisiatifnya, Jawatankuasa Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP mengadakan sidang mesyuarat pertamanya bertempat di Wisma YWP dengan memfokuskan kepada hala tuju, polisi dan term of reference (TOR), baru-baru ini.

Menurut YWP, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan pelaporan mengenai pelaksanaan program Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T) menerusi aktiviti dan program yang dirancang bagi tahun 2023 hingga 2024.

“Pada mesyuarat tersebut, beberapa perbelanjaan juga diluluskan di mana ia melibatkan kos-kos bagi pelaksanaan program, pembelian barangan, pemilihan pembekal untuk pengurusan Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP selain meluluskan laporan setiap suku tahun.

“Diharapkan mesyuarat yang dijalankan dapat mencapai segala objektif dan matlamat yang ditetapkan bagi membantu menaik taraf kehidupan warga Wilayah Persekutuan khususnya yang berpendapatan rendah (B40),” jelasnya yang memberitahu mesyuarat tersebut turut melibatkan 13 kakitangan pengurusan YWP.

Terdahulu, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP, Datuk Nizam Yahya dan diselaraskan oleh Setiausaha Tabung berkenaan merangkap Timbalan Pengurus Besar Jabatan Komuniti, Komunikasi Strategik dan IT, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir.

Sesi mesyuarat turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj; Timbalan Pengerusi Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP merangkap wakil Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim serta anggota pakar Industri Ismail Musa, Ahmad Sulaiman dan Foziah Buang.

Antara jenis bantuan dan sumbangan yang digerakkan adalah Bantuan Pemakanan, Bantuan Kembali Ke Sekolah, Bantuan Awal IPT, Bantuan Khas Bencana, MyGrocer, Usahawan Muda Kota dan pelbagai lagi.

Dalam perkembangan lain, menerusi tabung berkenaan, YWP menyampaikan sumbangan kepada dua buah keluarga yang kurang bernasib baik iaitu Nur Hidayu Hamdan yang menetap di Apartmen Desa Tasik serta Kamarul Zaman Shariff di Perumahan Awam (PA) Beringin Blok C baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi YWP, Datuk Seri Mahadi Che Ngah serta turut dihadiri Ida Harlina; wakil penyumbang, Datuk Mohammad Fadzllee Mustapa; Ketua Pegawai Eksekutif TF Parking Sdn Bhd, Lukman Hakim Rosli dan wakil HKL, Sharudin Ahmad.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan ke Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP, boleh ke akaun 8001103675 (CIMB BANK YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN) serta catatkan kod Sumbangan Tabung YWP atau boleh menghubungi talian 03-2698 3073 atau WhatsApp 019-348 3073 atau layari laman web rasmi https://www.yayasanwp.org/tabung-kebajikan-dan-pelajaran-ywp. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas