PELAKON, Sherry Ibrahim antara artis yang turut meluahkan rasa simpati Dan memberikan kata-kata semangat buat aktor, Fattah Amin yang sah bercerai dengan aktres, Nur Fazura, hari ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Sherry berharap Fattah terus kuat demi anaknya, Fatima dan keluarga yang sentiasa ada dalam senang dan susah.
Instagram will load in the frontend.
“Tabahkan hati, terima takdir yang telah ditentukan dan bangkit untuk mulakan hidup yang baru.
“Kuatkan diri demi Fatima, ibu, ayah dan adik-adik yang sentiasa ada di sisi,” katanya.
Apa yang dilalui oleh Fattah bukanlah satu proses yang mudah, namun Sherry akan terus mendoakan bekas kekasihnya itu dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Perjalanan hidup ini tidak mudah tapi dengan ketabahan, Insyaallah ia pasti akan membuka jalan untuk masa depan yang lebih baik.
“Terus melangkah ke hadapan and semoga semua urusan you, Abdul Fattah Amin dipermudahkan,” jelasnya.
Umum tahu, Fattah pernah menjalinkan hubungan cinta bersama Sherry sekitar tahun 2014 dan mengambil keputusan untuk berpisah pada 2016.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari mengesahkan Fattah dan Fazura telah bercerai dengan talak satu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Susulan kes perceraian itu, Fattah telah menafikan tuduhan Fazura yang mendakwanya culas dengan tanggungjawabnya memberikan nafkah dan berlaku curang terhadap aktres itu sepanjang membina hidup bersama.
Fattah yang melaporkan mereka telah membuat persetujuan bersama untuk tidak membuka aib mana-mana pihak bagaimanapun kesal dengan tindakan bekas isterinya itu dan menganggap dakwaan itu satu fitnah.
Fattah dan Fazura yang sudah berkahwin sejak 27 November 2017 itu turut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya. – Wilayahku