KETUA Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan golongan T15 sebaiknya membayar harga bahan api mengikut harga pasaran di sebalik kajian kemungkinan mereka tidak akan mendapat beberapa subsidi lagi selepas ini.
Menurut beliau ini kerana mereka mempunyai keupayaan yang tinggi untuk membayar harga barang dan perkhidmatan mengikut harga pasaran semasa.
Jelasnya, lebihan atau penjimatan subsidi itu boleh disalurkan pula kepada golongan yang memerlukan bagi menaikkan kuasa beli mereka melalui program bayaran pindahan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Hakikatnya, kita mahukan satu kehidupan yang harmoni di mana golongan yang senang dan kaya membantu mereka yang berpendapatan rendah.
“Jika keadaan ini dapat diwujudkan, maka jurang pendapatan dan kekayaan dapat dikurangkan serta dapat mewujudkan suasana yang aman dan tenteram baik dari sudut sosial serta ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Afzanizam berkata definisi T15 itu perlu ditunggu butirannya daripada pihak kerajaan.
Beliau berkata namun bayangannya adalah golongan yang mempunyai pendapatan tinggi yang sekali gus tidak melayakkan mereka menerima bantuan disebabkan kedudukan ekonomi mereka yang baik dari segi kewangannya.
“Golongan berpendapatan tinggi biasanya akan menerima gaji yang tinggi serta beberapa elaun yang meliputi kos sara hidup.
“Selain itu, aset kewangan mereka juga menyebabkan mereka ini mempunyai sumber pendapatan tambahan seperti dividen, keuntungan hasil daripada jualan pegangan dalam satu-satu pelaburan sama ada pelaburan hartanah mahupun pelaburan instrumen kewangan seperti saham, unit amanah saham dan komoditi,” ujar beliau.