Berita

T15: Perlu tafsir secara munasabah, kenal pasti secara menyeluruh

KRITERIA bagi pengklasifikasian T15 bukan sahaja merangkumi pendapatan tetapi juga aset dan harta. - Gambar hiasan.
- Diterbit 4 November 2024 11:53 AM MYT

PENGKELASAN golongan T15 mestilah berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, demograsi penduduk, lokaliti dan pendapatan bersih isi rumah, kata Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Suhaimee Saahar.

Jelasnya, sekiranya golongan T15 yang berada di Kelantan, semua sedia maklum kos sara hidup yang murah berbanding di bandar-bandar utama negeri-negeri lain.

“Jika hendak dibandingkan individu yang berada di dalam kelompok T15 di Selangor dan Lembah Klang, pasti jurangnya melebar berikutan di kawasan ini mempunyai pembangunan, pemilikan kekayaan dan penjanaan pendapatan.

“Selain itu, golongan ini juga perlu dipisahkan kepada kategori makan gaji dan juga usahawan, jadi ia memang memerlukan penafsiran yang betul,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Rabu.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membuat pengkelasan ini berdasarkan julat pendapatan namun pada hakikatnya ia mungkin tidak menggambarkan sosioekonomi, tanggungan, lokaliti dan sebagainya.

“Sebagai contoh, seorang individu T15 yang bermastautin di Shah Alam, bayaran rumah sahaja mungkin mencecah RM2,000 sebulan, penjagaan dan pendidikan anak juga perlu dibayar dengan kos yang sama dengan hanya seorang bekerja, namun disebabkan menerusi gaji bulanan dikategorikan sebagai T15, jadi ia tidak wajar kerana kos sara hidup yang tinggi.

“Berbanding dengan individu yang bermastautin di kawasan kampung yang mungkin mewarisi rumah pusaka termasuk kebun dan ladang, ia juga perlu dikelaskan dengan adil kerana banyak perkara termasuk kos yang perlu ditanggung,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan perlu membuat penelitian lanjut sebelum mengelaskan golongan T15 supaya sebarang dasar ekonomi di bawah Kerajaan MADANI memberikan keadilan kepada semua pihak.

Terdahulu, di dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan klasifikasi kumpulan T15 yang mewakili 15 peratus pendapatan teratas negara.

Klasifikasi baharu ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi khususnya bagi bahan api RON95 demi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

Menurut Suhaimee, dasar ini bertujuan untuk mengubah hala dana daripada subsidi yang memberi manfaat yang tidak seimbang kepada rakyat Malaysia dan warga asing terkaya, yang kini menggunakan kira-kira 40 peratus daripada subsidi bahan api RON95.

“Anggaran RM8 bilion yang dijimatkan setiap tahun daripada pemotongan ini akan diperuntukkan semula kepada sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengkaji paras pendapatan bagi golongan T15 daripada RM13,000 yang ditetapkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ketika ini kepada RM15,000 hingga RM20,000.

Jelas beliau, langkah itu diambil berikutan kritikan dan pandangan dari pelbagai pihak menyatakan jumlah yang ditetapkan Jabatan Perangkaan itu terlalu rendah dan tidak munasabah.

“Dan adakah kita fikir akan naik RM15,000 atau RM20,000, itu sedang dibincangkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai pentafsiran T15 yang dibuat secara individu.

Berhubung dengan rancangan kerajaan dalam melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri berkata, perkara itu sedang dibincangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan agensi berkaitan.

“Ada isu mengenai kedudukan T15, maka kita lepaskan tanggungjawab membayar  kepada B40, M40 dan bila dikaji, ada rangkaian daripada T20 ini di peringkat bawah.

“Itu mungkin pendapatannya agak sedikit rendah, maka dinaikkan. Ini bukan perkara baharu sebab dalam penyelarasan subsidi diesel digunakan prinsip yang sama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas