DI mana sahaja ada bangunan atau rumah tinggal, pasti akan ada penghuni yang tidak diundang menduduki premis tersebut. Selalunya ialah gelandangan atau penagih dadah yang menjadikan tempat tersebut ‘syurga’ untuk tinggal atau mengambil dadah.
Premis tinggal yang kini menjadi sasaran penghuni tidak diundang ialah rumah pangsa awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Perumahan awam ini ditinggalkan sejak tahun 2008.
Perumahan ini pada asalnya ialah kuarters tentera. Kawan-kawan Kedai Kopi dapat tahu dalam usaha menjadikan ia kediaman selesa, kerja baik pulih 10 blok kuarters tersebut dijalankan pada awal 2008 tetapi ditinggalkan pada hujung Disember tahun sama. Ini kerana kuarters tentera berpindah ke tempat baharu.
Sejak itu kawasan berkenaan dibiarkan, dipenuhi semak. Siapa juga bebas keluar masuk, baik gelandangan, penagih atau pencuri. Tempat tersebut dijadikan stor menyimpan barang curi. Malah menurut penduduk, ada penagih dadah ditemui mati di premis tersebut akibat mengambil dadah berlebihan.
Walaupun pihak polis melakukan rondaan, kehadiran gelandangan dan penagih dadah tetap berterusan. Mereka ‘hilang’ ketika polis meronda, tetapi muncul apabila polis sudah tiada.
Kawan-kawan Kedai Kopi percaya keadaan ini akan berterusan selagi ia terus terbiar. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelumnya dilaporkan bersetuju pembangunan semula kuarters berkenaan dijalankan. Tetapi pihak terlibat tidak melaksanakan sebarang usaha sehingga kebenaran yang diberi oleh DBKL mansuh pada 2022.
Kerana itu, pemilik premis berkenaan perlu membuat keputusan segera dan muktamad mengenai apa perancangan untuk premis terbiar itu. Perkara ini rasanya masih boleh dibincangkan dengan DBKL. Tetapi mestilah ada perancangan konkrit.
Jangan biarkan bangunan tinggal itu sebagai hutan batu di tengah kota. Selain menjemput penghuni tidak diundang, ia mendatangkan risiko daripada segi keselamatan kepada orang ramai di sekitar.
Sebenarnya bukan sahaja premis PKNS tersebut yang perlu diberi perhatian tetapi juga premis lain yang ditinggal terbiar di ibu kota. Sama ada baik pulih atau musnahkan terus. Jangan biarkan ia mencacatkan pemandangan di bandar raya.