Fokus

Syukur Allah masih pinjamkan nyawa

- Diterbit 5 Mac 2024 11:03 AM MYT

TIBA-TIBA sahaja apabila sedar, kereta saya sudah melanggar pembahagi jalan di lorong yang bertentangan,” ujar Norzazrina Zainuddin yang mengalami kemalangan akibat microsleep.

Berkongsi pengalaman pahit tersebut, Norzazrina, 37, berkata faktor utama berdepan perkara tersebut kerana dia terlalu penat serta tidak mendapat tidur dan rehat yang mencukupi.

NORZAZRINA

“Kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi di mana ketika itu saya bersendirian dalam perjalanan dari Pahang ke Melaka atas urusan kerja. Sebaik tiba di jalan Kuantan bypass menghala ke Gambang berhampiran Bukit Rangin, saya tersedar apabila kereta sudah melanggar pembahagi jalan di lorong bertentangan,” ujarnya kejadian tersebut berlaku ketika tahun 2015.

Mengimbau detik-detik tersebut, wartawan penyiaran di sebuah portal ini berkata, dalam keadaan separa sedar, dia sempat mencapai telefon bimbit untuk meminta pertolongan rakannya.

“Selepas membuat panggilan telefon, saya terus tak sedarkan diri dan sudah berada di wad kecemasan. Kemalangan itu membuatkan saya menerima 10 jahitan di kepala dan muka selain pergelangan kaki kiri juga retak.

“Kejadian tersebut menyebabkan keyakinan diri mula menurun kerana hampir separuh muka saya cedera kerana tidak memakai tali pinggang keledar. Selain itu, kereta saya juga total lost,” ujarnya masih trauma untuk memandu sekiranya penat dan mengantuk.

Tambahnya, untuk mengelakkan perkara tersebut berulang, dia sentiasa memastikan dirinya mendapat rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan jauh mahupun dekat.

“Diharapkan pemandu di luar sana tidak memaksa diri memandu dalam keadaan penat kerana microsleep ini boleh terjadi meskipun dalam keadaan mata sedang ‘terbuka’. Kalau rasa mengantuk, berhenti dan berehat lima ke 10 minit pun tidak mengapa. Jangan menyesal di kemudian hari,” pesannya agar orang lain tidak mengalami pengalaman pahit sepertinya.

Bagi Mohd Iman Rizal pula, dia bernasib baik kerana tidak terlibat dalam kemalangan meskipun pernah mengalami episod tidur singkat itu beberapa kali dalam perjalanan pergi dan balik ke
tempat kerjanya.

“Antara detik yang saya tidak dapat lupakan apabila tiba-tiba terlelap dan nyaris melanggar bas di hadapan. Mungkin jalan tersebut berbukit membuatkan bas tersebut bergerak perlahan.

“Ketika itu pukul 2 petang ditambah cuaca yang panas menyebabkan saya mengantuk,” ujarnya yang bersyukur kerana sempat memperlahankan kenderaan.

Terdahulu, statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), antara tahun 2011 hingga 2021 terdapat 1,305 kematian disebabkan mengantuk selain menurut statistik pada tahun 2010 dan kajian dari Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), 15 peratus responden menyatakan kemalangan yang berlaku di Lembah Klang adalah disebabkan mengantuk manakala 53.3 peratus pula berpunca daripada kualiti tidur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas