YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada tokoh intelek Islam, Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Dalam majlis pengurniaan yang diadakan di Istana Negara hari ini, Syed Muhammad Naquib, 93, menerima pengiktirafan gelaran tertinggi dalam kalangan profesor itu berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam pendidikan Islam.
Beliau merupakan Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) dan juga seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara.
Beliau juga individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Majlis pengurniaan itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Profesor Diraja gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.
Satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran Profesor Diraja ialah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978. – WILAYAHKU