Berita

Syed Kamarulzaman dilantik Pengerusi MAIWP baharu

- Diterbit 15 Februari 2024 11:00 PM MYT

TOKOH dan intelektual Islam Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Tan Sri Daud Bakar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Syed Kamarulzaman adalah seorang jurutera elektronik dan komputer dan telah bekerja di Tenaga Nasional Berhad selama lebih 33 tahun. Beliau merupakan seorang tokoh dan intelektual Islam yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk sains serta teknologi.

“Syed Kamarulzaman juga memikul amanah sebagai panel pemikir dan penasihat kepada beberapa organisasi antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Syed Kamarulzaman juga pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul 2023 atas jasa dan baktinya dalam membangunkan bidang astronomi Islam di Malaysia.

Mohd Na’im berkata pengalaman luas Yang Dipertua Persatuan Falak dan Syarie itu amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan MAIWP.

Beliau berkata seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mendoakan agar Syed Kamarulzaman akan terus diberikan bimbingan serta taufik daripada Allah untuk memikul amanah besar ini demi memartabatkan Islam dan umatnya.

Pada masa sama, Mohd Na’im merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Daud atas jasa beliau dan perkhidmatan yang telah diberikan dalam memimpin MAIWP bagi sesi 202-2024. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas