SYARIKAT kosmetik Cubre Mi Sdn. Bhd. (Cubre Mi) memfailkan saman terhadap seorang bekas ejen berhubung dakwaan memfitnah syarikat berkenaan menerusi beberapa hantaran di platform media sosial pada April lalu.
Peguam Datuk Adnan Seman berkata, anak guamnya, Pengasas Cubre Mi, Afzalizah Nizam Azizan memfailkan saman tersebut pada 24 Jun 2024 berhubung hantaran yang diterbitkan defendan yang merupakan ketua ejen ketika itu adalah fitnah dan memberikan imej buruk terhadap reputasi dan imej anak guamnya.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 20 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes.
“Saman adalah berkaitan penerbitan kenyataan defendan pada 18 April 2024 di Facebook. Ia berkaitan penjualan produk-produk oleh ibu pejabat (Cubre Mi) yang didakwa menganiayanya.
“Dalam hantaran itu plaintif mendakwa telah dianiaya apabila ibu pejabat menjual (produk) pada harga lebih rendah berbanding harga runcit. Pihak yang disaman juga telah memfailkan pembelaan mereka,” katanya pada satu sidang media di Bangi, Selangor, pada Rabu.


Menurut Adnan, anak guamnya mendakwa produk yang dijual pada harga rendah berbanding pasaran itu merupakan produk yang mempunyai kecacatan pada bungkusan atau hampir tamat tarikh luput. – WILAYAHKU