KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula syarat penyertaan minimum bagi acara yang dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata langkah itu bagi membolehkan acara sukan terus dipertandingkan walaupun tidak mendapat penyertaan daripada sekurang-kurangnya enam negeri iaitu syarat yang diguna pakai ketika ini.
Beliau berkata dengan meminda syarat penyertaan minimum itu, ia memberi peluang kepada lebih banyak atlet mendapat pengalaman bertanding selain memudahkan proses pencarian pelapis atlet kebangsaan.
“Kita nak wujudkan lebih banyak atlet dengan melihat program akar umbi, mengkaji struktur SUKMA. Sekarang kalau ada enam negeri yang nak sertai sesuatu sukan itu, baru ia boleh dianjurkan di SUKMA. Peraturan seperti ini tidak bagus untuk pembangunan sukan.
“Saya akan melihat struktur SUKMA secara menyeluruh, reformasi, ahli Lembaga MSN yang ditugaskan untuk melihat perkara itu adalah S.Suriaghandi (Ahli Lembaga Pengurusan MSN),” ujar beliau.
SUKMA 2024 akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Sebagai rekod, kontinjen WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan pada SUKMA XX MSN yang diadakan pada tahun lepas dengan pencapaian 55 pingat emas, 69 perak dan 65 gangsa. – WILAYAHKU