Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Syahredzan proaktif naik taraf penduduk

- Diterbit 7 Jun 2024 10:00 AM MYT

AHLI Parlimen Bangi, Yang Berhormat (YB) Syahredzan Johan terus berjuang demi memberikan kemudahan serta kelangsungan hidup khususnya buat penduduk di kawasan Bangi.

Kelainan dan perubahan yang ingin dilakukannya adalah bermula dengan perkara-perkara asas yang memberi perubahan dalam aktiviti harian penduduk.

Walau banyak cabaran yang harus diatasi namun perkara tersebut tidak langsung membataskan semangatnya untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik.

Ikuti wawancara eksklusif YB Syahredzan Johan bersama wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor bagi menceritakan detik pahit manis sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Apakah pencapaian YB sepanjang berkhidmat di Parlimen Bangi?

Jika diikutkan, saya baru sahaja setahun lebih menjadi seorang wakil rakyat. Walau bagaimanapun setakat ini boleh dikatakan saya mampu tersenyum dengan usaha yang telah dilakar namun masih banyak ruang yang ingin saya tambah baik dan perbetulkan.

Kalau ditanya tentang kejayaan, paling utama ialah tentang manfaat yang diperolehi rakyat setakat hari ini.

Antara manfaat yang diterima adalah Klinik Kesihatan Kajang yang telah dinaik taraf dan mampu memuatkan lebih ramai pesakit pada satu masa di bilik kecemasan.

Selain itu, kawasan-kawasan flat atau perumahan kos rendah turut dinaik taraf seperti rumah sampah dan gelanggang permainan.

Malah, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memberi dana untuk kita perbaiki lagi kawasan tumpuan orang ramai iaitu Taman Tasik Cempaka.

Itulah antara yang dilaksanakan kerana bagi saya kayu pengukur pencapaian yang terbaik adalah manfaat buat penduduk di sini.

Antara cabaran getir YB?

Sudah tentu cabaran itu ada, ia datang dalam pelbagai bentuk namun kita perlu bijak menanganinya. Dalam masa yang sama, cabaran juga mampu memajukan diri kita untuk berubah ke arah yang lebih baik daripada di mana kita berada sekarang.

Sebagai wakil rakyat, cabaran yang paling besar ialah bagaimana untuk saya santuni atau capai penduduk di Parlimen Bangi.

Lebih 600,000 penduduk yang mendiami kawasan Parlimen Bangi sememangnya adalah satu perkara yang sukar untuk saya berjumpa setiap seorang.

Alhamdulillah dengan era moden masa kini, di era sosial media memberi satu kelebihan yang sangat berkesan bagi saya untuk menyampaikan segala bentuk maklumat kepada penduduk.

Malahan, saya juga ada kumpulan WhatsApp bersama penduduk supaya mereka dapat terus memberi aduan kepada saya.

Beginilah cara saya mendekati mereka, selain turun padang melaksanakan aktiviti bersama.

Apakah fokus YB dalam membangunkan kawasan?

Jika diikutkan memang banyak perkara yang ingin ditambah baik serta yang ingin dilaksanakan. Namun, buat masa sekarang, saya hanya fokuskan pembangunan kepada perkara-perkara yang asas dahulu.

Pembangunan asas seperti menaiktaraf klinik-klinik kesihatan, taman-taman rekreasi, pusat-pusat ibadat, sekolah-sekolah, lampu-lampu jalan serta pelebaran jalan dan banyak lagi.

Kalau kita lihat, di sini banyak terbina kawasan perumahan baru, secara logiknya akan bertambah kepadatan penduduk, maka amat penting untuk saya naik taraf kemudahan-kemudahan asas ini bagi kelangsungan hidup penduduk.

Kemudian, bila perkara-perkara asas ini kita sudah beri solusi barulah kita boleh fokus perkara lain yang lebih besar.

Berapa jumlah peruntukan yang diterima serta bagaimana diagihkan?

Seperti umum sedia maklum, sebagai wakil rakyat, kita terima peruntukan sebanyak RM2 juta daripada Projek Mesra Rakyat. Kemudian daripada situ saya bersama pasukan akan agihkan kepada penduduk.

Kita beri bantuan kepada sekolah, bantu mereka lengkapkan bahan-bahan pembelajaran, bantu keluarga susah dan naik taraf segala perkara-perkara asas yang seperti saya sebut sebelum ini.

Ia perlu diberi perhatian kerana bila perkara asas ini tidak mencukupi akan memberi impak yang besar di kemudian hari.

Bagaimana YB mengatasi masalah miskin tegar?

Bantuan memang selalu diberi kepada mereka yang memerlukan dan dalam masa yang sama, kita juga mempunyai bakul makanan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Namun pada saya sumbangan ini hanya berbentuk sementara dan bukan bersifat sustain, kita bantu mereka dengan pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mampu menjana pendapatan buat mereka.

Bila sudah mampu menjana pendapatan tetap sekali gus akan membantu mereka keluar dari zon kemiskinan.

Saya boleh katakan penduduk di sini lebih kepada miskin bandar, sebab itu, intervensi daripada kerajaan perlu bagi memberi ruang bernafas kepada golongan ini.

Antaranya seperti dasar gaji progresif yang sememangnya mampu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat bukan sahaja di sini malah seluruh negara juga.

Kesesakan lalu lintas merupakan antara isu hangat di kawasan ini, apakah perancangan YB?

Masalah kesesakan lalu lintas ini sememangnya terjadi di semua kawasan-kawasan bandar, banyak langkah yang telah diambil dari jangka masa pendek dan juga panjang bersama pihak kerajaan serta agensi-agensi.

Solusi seperti melebarkan jalan juga diambil namun statistik juga menunjukkan bila jalan sudah dilebarkan lebih banyak kenderaan akan menggunakan jalan itu.

Jadi pada saya, solusi yang terbaik ialah menggunakan pengangkutan awam, namun kita perlu atasi masalah seperti first and last mile connectivity ini.

Saya juga pernah bangkitkan isu ini di Parlimen tentang bagaimana ia boleh ditambah baik lagi bagi kemudahan orang ramai.

Apakah perancangan YB kepada penduduk pada masa hadapan?

Menjadi wakil rakyat adalah satu tanggungjawab yang berat kerana dipilih oleh penduduk yang meletakkan kepercayaan kepada kemampuan kita.

Ia adalah satu amanah yang perlu dipikul bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk untuk semua urusan.

Jika boleh saya mahu semua penduduk berpuas hati atas perkhidmatan yang telah saya berikan kepada mereka.

Saya mahu dilihat sebagai wakil rakyat yang proaktif mendengar keluhan dan melaksanakan serta melakukan yang terbaik demi memberikan kelangsungan kehidupan buat penduduk di sini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas