PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) diyakini mampu menjadi sebagai pelengkap menjayakan dasar pengurusan sisa pepejal negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian dan Pengarah SWCorp Kuala Lumpur, Abd Karim Salim bersama delegasi.
“Pertemuan ini meliputi perbincangan mengenai isu kebersihan sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026.
“Selain beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan dalam usaha merealisasikan aspirasi CHASE City di Kuala Lumpur,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Zaliha menyambut baik jalinan kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan SWCorp dalam meraikan World Cleanup Day 2024 pada September ini.
Beliau berkata kerjasama itu semestinya menggalakkan warga kota Wilayah Persekutuan untuk membersihkan sampah dan menjaga kebersihan alam sekitar.
“Semoga SWCorp terus kekal cemerlang dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa dan amalan pembersihan yang baik dalam kalangan warga kota Wilayah Persekutuan.
“Ini sekali gus melahirkan Malaysia yang bersih, indah dan sejahtera,” katanya. – WILAYAHKU