SELARAS dengan penekanan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keperluan peniaga/penjaja kecil, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah melaksanakan penambahbaikan bagi memindahkan tapak peniaga kecil sementara (PKS) di Putrajaya ke tapak baharu.
Menurut Pengarah Bahagian Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Rozimah Wahid, tapak baharu tersebut dikenali sebagai Kios Penjaja Putrajaya yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Wilayah Persekutuan menggunakan peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan.
“Usaha tersebut bagi menggantikan tapak peniaga kecil sementara sebelum ini yang tidak tersusun kepada tapak tetap yang lebih sistematik dan seragam.
“Selain itu, ia juga bagi mempelbagaikan pilihan tapak dan lokasi baharu perniagaan berskala kecil dengan kadar sewaan yang rendah serta menyokong inisiatif Kerajaan untuk menjaga dan menyantuni kumpulan peniaga/penjaja kecil agar disediakan tempat perniagaan teratur, selesa dan bersih.
“Sehingga kini, kita mempunyai seramai 28 peniaga yang terlibat di mana 14 peniaga di sebelah pagi dan selebihnya pada waktu malam merangkumi empat lokasi iaitu di Presint 9, 15, 17 & 18,” ujarnya.
Rozimah berkata dengan beroperasinya Kios Penjaja Putrajaya telah memberi impak dalam aspek sosioekonomi Putrajaya.
“Antaranya merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi peluang berniaga kepada komuniti Putrajaya khususnya golongan B40 dan belia dengan kadar sewa serendah RM200 sebulan.
“Dalam pada itu, selaras dengan imej Putrajaya sebagai ‘Bandar dalam Taman’ dan ‘Bandar Hijau’, projek dan operasi Kios Penjaja Putrajaya turut menitikberatkan aspek kelestarian seperti pembangunan tapak kios berkonsepkan outdoor tanpa struktur binaan konkrit yang dominan bagi memastikan ianya lebih mesra persekitaran (eco-friendly).
“Lokasi tapak kios juga berada di kawasan terbuka dan hijau termasuk di taman awam Putrajaya sekali gus menarik minat pengunjung untuk beriadah dan bersukan di taman-taman tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rozimah berkata dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kios Penjaja Putrajaya berpotensi untuk diperluaskan lagi pembinaan dan pengoperasiannya di Putrajaya susulan permohonan menggalakan diterima daripada penjaja selain bagi memenuhi keperluan warga Putrajaya. – WILAYAHKU