SUSPEK kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam, 8 Februari lalu, maut ditembak dalam serbuan di sebuah hotel di Pulau Ketam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditembak dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kira-kira pukul 3 pagi tadi.
“Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.
“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemukan dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Hussein memberitahu, suspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah.
Selain itu katanya, suspek memiliki tujuh kes jenayah samun dan dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini.
Dalam kejadian pada pukul 10 malam, 8 Februari lalu, suspek dilapor melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah di Setia Alam, semasa berada di Aras P1.
Mangsa yang cedera di punggung dan kakinya menyelamatkan diri, masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.
Suspek kemudian melepaskan beberapa lagi tembakan dan terkena pada pintu kaca serta cermin tangga sebelum menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik seorang pengunjung dan memaksa lelaki itu membawanya menuju sebuah kawasan di Pandamaran, Klang dan memberhentikan keretanya.
Suspek melepaskan mangsa dan melarikan diri. – WILAYAHKU