Berita

Suspek aniaya kucing ditahan polis

- Diterbit 25 November 2024 4:20 PM MYT

SEORANG lelaki ditahan polis di Jalan Klang Lama petang semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di kediamannya pada pukul 6.10 petang.

“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Permohonan reman dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk melengkapkan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial, seorang individu bertindak kejam mengheret seekor kucing menggunakan tali yang diikat pada leher haiwan itu.

Video berdurasi sembilan saat itu menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai dan turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika yang menawarkan ganjaran sebanyak RM3,000 kepada saksi utama.

Dalam perkembangan lain, Rusdi memaklumkan suspek kes bunuh ibu kandung yang menyimpan mayat mangsa di dalam peti sejuk beku akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

“Sebanyak 13 percakapan saksi telah dirakam untuk membantu dalam siasatan kes ini. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara hari ini dan bersetuju untuk pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan perbuatan lelaki berusia 53 tahun itu terbongkar selepas kediamannya di Taman OUG di sini diperiksa pasukan polis susulan suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat.

Pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya disimpan dalam peti sejuk beku yang disyaki dibunuh pada 2021. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas