Berita

Suria FM umum perubahan penyampai radio

- Diterbit 10 Februari 2025 7:50 PM MYT

SELEPAS hampir 18 tahun mengendalikan program Suria Cinta, tempat DJ Lin bakal diambil alih penyampai baru Nur Imanina Mohd Hisham bermula Mei depan.

Bagaimanapun DJ Lin akan ke udara pada setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad jam 8 malam hingga 1 pagi) untuk mengubati rindu peminatnya.

Perubahan itu adalah sebagai langkah memperkukuhkan lagi Suria FM bagi 2025.

Sementara itu segmen Morning Morning Suria yang sebelum ini dikendalikan Suraya Borhan, Ajak dan Fizz Fairuz turut dirombak.

Suraya diberj tanggungjawab mengendalikan segmen Suria Hujung Minggu dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan juga Hello Suria 2 petang hingga 7 malam.

Suria FM menerusi kenyataan medianya yakin pengalaman luas Suraya sebagaipenyampai dan penerbit, mampu membawa nafas baru kepada segmen hujung minggu.

Perubahan ini adalah sealiran dengan perancangan Suria FM untuk tidak mengabaikan segmen hujung minggu dan dapat menarik minat penaja.

Bagi tujuan menarik lebih ramai pendengar muda dan baharu, Kai Hassan akan mengantikan tempat Suraya di segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Dato Fizz Fairuz.

Keserasianmereka mampu membawa aura yang lebih segar dan dinamik.

Sementara itu, Cik Piah kekal mengendalikan segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria dari 10 pagi hingga 3 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala Sharifah Shahirah (Rara)dan Chiwan kekal mengendalikan Suria Petang” dari jam 3 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Perubahan strategik ini bertujuan memastikan Suria FM terus kekal sebagai pilihan utama pendengar dengan menyajikan kandungan yang segar dan dinamik, sambil mengekalkan daya tarikannya yang tersendiri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas