TIADA maaf untuk perasuah. Itu amaran Datuk Bandar Kuala Lumpur‚ Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif. Tiada kompromi dan toleransi terhadap rasuah membabitkan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Untuk itu‚ beliau akan memastikan setiap aduan atau maklumat mengenai rasuah akan disiasat walaupun ia disampaikan melalui surat layang. Siasat tetap siasat.
Malah beliau menyifatkan surat layang ini sebagai ‘pokok bergoyang’ kerana ia tidak akan bergoyang jika tidak ada angin. Kerana itu siasatan terperinci perlu dijalankan. Jika aduan diterima terbukti benar‚ tindakan tegas akan diambil terhadap yang terlibat.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi hal ini menyerlahkan betapa Maimunah serius memerangi rasuah dalam kalangan kakitangan DBKL. Tambahan sebelum ini pun terdapat kes rasuah dan pelaku telah dihadapkan ke mahkamah.
Sewajarnya hasrat murni beliau ini difahami‚ dihayati serta dipatuhi oleh semua warga DBKL. Sematkan ia dalam hati‚ laksanakan tanggungjawab sejajar slogan bersih‚ cekap dan amanah.
Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan‚ prosedur operasi standard (SOP) berhubung penyampaian perkhidmatan DBKL akan ditambah baik. Seboleh-bolehnya setiap ruang yang mungkin ada untuk penawaran habuan ditutup serapat-rapatnya.
Diharap semua kakitangan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Datuk Bandar dalam mewujudkan pentadbiran berintegriti. Orang ramai dan warga kota khususnya mahu DBKL memberi perkhidmatan terbaik serta bebas rasuah.