Berita

Suntik kesedaran ESG melalui pameran seni bermula 18 April

- Diterbit 8 April 2025 10:30 AM MYT

BAGI mempromosikan kesedaran orang awam mengenai Alam Sekitar, Sosial & Tatakelola (ESG), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bakal menganjurkan pameran seni bertempat di Balai Ketibaan KLIA Ekspres, KL Sentral bermula 18 April hingga 5 Mei 2025.

NRES dalam kenyataan memberitahu, ia merupakan salah satu advokasi kementerian mengenai kesedaran amalan lestari dalam konteks ESG dalam kehidupan.

“Pelbagai perkhidmatan dan kempen dibawakan oleh
14 Jabatan dan Agensi di bawah NRES antaranya kempen penghijauan
Malaysia, kempen Selamatkan Harimau Malaya, konservasi hidupan liar, publisiti produk eko-pelancongan, kempen gaya hidup lestari, kenali mineral dan galian, demonstrasi lestari dan sesi perkongsian bersama pengunjung turut diadakan.

“Pameran ini turut mendapat penyertaan daripada sektor korporat dan usahawan sosial. Kolaborasi antara kerajaan dan sektor swasta
memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan menyebar luas
kelestarian alam sekitar, sosial dan ekonomi. Ia juga dapat memacu kempen ESG ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, lebih daripada 100 pelukis termasuk pelukis kurang upaya mempamerkan hasil karya mereka melalui pelbagai medium antaranya seni visual, kraftangan, bahan buangan dan seni arca.

NRES turut berkolaborasi strategik Art Market Malaysia dan Express Link Rail Sdn Bhd (ERL) bagi menjayakan pameran tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas