JODOH, pertemuan, ajal dan maut segalanya sudah ditentukan oleh Allah SWT Tuhan Yang Maha Esa. Segala perjalanan kehidupan seorang insan bernama manusia sudah tertulis. Begitulah juga saat ajal menjemput. Kita tidak akan tahu bila malaikat Izrail akan datang mencabut nyawa.
Berbicara soal kematian, wujudnya pandangan mengatakan majlis tahlil yang diadakan ntuk mendoakan kesejahteraan roh orang yang telah meninggal dunia tidak bersesuaian untuk dilakukan kerana perbuatan itu seperti meraikan kematian.
Namun penganjuran majlis tahlil atau kenduri arwah begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini apabila berlakunya kematian terutamanya dalam kalangan ahli keluarga.
Amalan tersebut merupakan gabungan antara bacaan ayat dan surah daripada Al-Quran, zikir kepada Allah SWT yang merangkumi tasbih, tahmid, takbir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memberi makan kepada orang ramai.
Sejauh mana perlunya perbuatan menganjurkan kenduri arwah masih diperkatakan sehingga kini dan dalam masa yang sama segelintir masyarakat di luar sana masih mendambakan jawapan perihal perkara tersebut.
Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata agama Islam itu mudah dan kita sebagai umat Islam tidak perlu membina pagar sehingga membataskan segalanya-galanya.
Menurut Mohamad, melaksanakan kenduri untuk si mati adalah termasuk sedekah kepada si mati.
“Dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie Jilid 1 ada menyebutkan bahawa ijmak ulama bahawa sedekah untuk si mati memberi manfaat kepada si mati dan pahalanya sampai kepada si mati berdasarkan sabit banyak hadis.
“Antaranya hadis riwayat Aisyah RA bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW (maksudnya): Adakah memberi manfaat kepada si mati iaitu ibunya sekiranya ia memberi sedekah untuk ibunya. Rasulullah SAW menjawab: Ya.
“Maka hukum melaksanakan kenduri untuk si mati adalah sunat. Selain itu amalan lain untuk si mati adalah berdoa, membaca Al-Quran, bersedekah dan berwakaf berniat pahala untuk si mati,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, Mohamad berkata tahlil merupakan satu amalan nusantara yang sudah terbentuk sejak sekian lama oleh masyarakat.
“Amalan tersebut yang diamalkan ini tidak bertentangan dengan syariat Islam kerana pengisiannya lebih kepada mengingatkan kepada Allah SWT.
“Dalam majlis tahlil itu adanya doa, sedekah dan bacaan Al-Quran untuk Allahyarham. Justeru, si mati juga diberi ganjaran pahala,” ujarnya.
Namun, jelas Mohamad, amalan kenduri adalah bergantung kepada kemampuan masing-masing. Sekurang-kurangnya membaca Al-Quran dan berdoa untuk si mati.
“Hendaklah juga majlis tahlil yang dilaksanakan tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang menyalahi syariat Islam.
“Di samping itu, amalan memberi sumbangan kepada penganjur tahlil pada asalnya adalah juga diharuskan.
“Walau bagaimanapun, terdapat amalan dalam kalangan masyarakat yang menetapkan sumbangan tertentu untuk nama-nama arwah yang diberikan kepada penganjur majlis tahlil, ia jelas berlainan daripada amalan asal tersebut.
“Ini kerana penetapan jumlah tertentu untuk nama-nama arwah akan menyebabkan seolah-olah berlakunya akad jual beli antara penyumbang dan penganjur kepada majlis tahlil tersebut,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Mohamad menegaskan hukumnya boleh menjadi haram apabila melakukan kenduri arwah jika ahli keluarga dipaksa untuk berbuat demikian sedangkan mereka berdepan dengan pelbagai kekangan lain.
“Ahli keluarga pula terpaksa menjayakan kenduri itu tanpa kerelaan dan keikhlasan mereka. Lebih teruk lagi apabila kos jamuan diambil sepenuhnya daripada duit pusaka yang belum diagih-agihkan kepada mereka yang berhak. Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan perlu dijauhi untuk mengelak kemurkaan Allah SWT,” ujar beliau. – WILAYAHKU