Berita

Sumbangan Asas Rahmah melalui MyKad disalurkan esok

- Diterbit 14 Januari 2025 12:02 PM MYT

KERAJAAN akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula esok melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

Bagi tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya di Semenanjung pada tahun lalu.

Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun ini berbanding RM1,200 pada tahun lalu.

Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac ini.

Mulai April ini, kadar bantuan itu akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di sabah, Sarawak dan Labuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.

“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan Kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak.

“Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu Kementerian Kewangan memberitahu, penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.

Katanya, selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April ini.

“Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih. Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan.

“Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” katanya.

Jelas Kementerian Kewangan, di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 pada 2024.

“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan selain makanan asas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas