Berita

Sumbang mahram: Bahana rumah sempit

MANGSA akan mengalami kemurungan dan depresi melampau jika
- Diterbit 18 Disember 2020 5:39 AM MYT

KEADAAN rumah yang sempit sehingga berlaku ‘percampuran’ antara anak lelaki dan perempuan dilihat sebagai punca utama berlakunya kes jenayah seksual dalam kalangan masyarakat terutama sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, acap kali dilaporkan, perbuatan tidak bermoral itu berlaku di kawasan-kawasan terpencil dan pedalaman manakala di bandar, ia sering terjadi di rumah kos rendah atau flat yang mempunyai hanya dua bilik tidur.

Apa yang menyedihkan, isu yang merupakan tabu itu, sudah menjadi terbuka dan membimbangkan. Walhal dahulunya, masa bersama keluarga amat dituntut, namun kini ia menjadi punca kegiatan jenayah sumbang mahram.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 1,721 kes jenayah seksual kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, rogol mencatatkan kes paling tinggi iaitu 651 kes diikuti cabul 344 kes, sumbang mahram (106 kes), luar tabii (106 kes) dan 514 kes bagi jenayah di bawah Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Melihat kepada angka tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan supaya kerajaan membina rumah kos rendah yang mempunyai sekurang- surangnya tiga bilik sekali gus memberi privasi dan keselesaan kepada penghuninya.

Menurut Presiden Helping Shoulder, Lila ­Ruzaini Mohd Hussin, berdasarkan penelitiannya, kegiatan jenayah seksual seperti sumbang mahram yang berlaku di bandar berpunca daripada miskin bandar.

Jelasnya, ia berikutan, rumah yang bersaiz kecil mempunyai bilangan penghuni yang ramai.

“Kalau dalam kawasan persekitaran rumah itu ada bilik yang terhad, semua orang tidur di situ terutama dalam keadaan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghalang masyarakat keluar pastinya gejala tidak bermoral boleh terjadi.

“Sepanjang tempoh itu juga, kebanyakan penghuni lebih gemar menggunakan  telefon untuk melayari media sosial termasuk membuka laman web yang tidak sepatutnya. Oleh itu pelaku ‘memilih’ ahli keluarga sendiri,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Rabu.

Bagi Lila Ruzaini, selain faktor tersebut, perbuatan tidak bermoral itu berlaku disebabkan mangsa juga kurang ilmu pengetahuan dan mengamalkan sikap enggan ambil tahu sehingga menyukarkannya membezakan jenis-jenis sentuhan.

Dalam pada itu, beliau berkata, jaringan jalur lebar juga mudah dan sukar dikawal yang mana dengan hanya satu klik, pelayar boleh mengakses ke mana sahaja laman sesawang yang tidak patut.

“Sumbang mahram adalah kes yang tiba-tiba berlaku iaitu pelaku bertukar agresif dan memaksa mangsa. Namun, semestinya mangsa sedar jika dibandingkan dengan jenayah pedofilia.

“Pedofilia adalah jenayah terancang. Pelaku akan ‘grooming’ dan pastikan budak itu suka kepada video seks dan sebagainya sebelum ‘menyerang’,” jelasnya.

Mengulas tentang peranan NGO, ujar beliau, pihaknya sentiasa masuk ke kawasan pedalaman bagi memberi advokasi dan informasi kepada masyarakat.

Selain itu, katanya, mangsa akan dihubungkan dengan agensi kerajaan yang lain  sekali gus memudahkan tindakan lanjut diambil.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas