WK2

Sumbang bakti, berpeluang bertemu pelari seluruh dunia

- Diterbit 16 Julai 2023 6:00 AM MYT

BERGELAR sebahagian daripada sukarelawan Program Parkrun bukan sahaja dapat memberi nilai tambah kepada komuniti namun dalam masa yang sama turut dapat mengamalkan gaya hidup sihat.

Meskipun pekerjaannya tidak seberat sukarelawan dalam program yang lain namun ia cukup untuk memberi ruang buat mereka yang terlibat terus berbakti
kepada masyarakat seterusnya mengukuhkan silaturahim.

Menurut salah seorang sukarelawan, Hanita Ahmad, 58, pada mulanya dia merupakan sebahagian daripada peserta sahaja namun terdetik untuk menjadi sebahagian daripada mereka.

“Saya mula sertai program ini pada tahun 2018 di mana ketika itu saya masih bergelar seorang guru. Setiap hari Sabtu sekiranya tiada aktiviti di sekolah saya akan datang ke sini untuk menyertai program ini.

“Ketika itu sebagai peserta saya perlu berlari sejauh lima kilometer dan sambil berlari saya nampak beberapa orang sukarelawan memainkan peranan menjaga keselamatan, memudahkan larian peserta dan sebagainya membuatkan saya teruja untuk menjadi sukarelawan,” kongsinya kepada Wilayahku.

Hanita berkata komuniti Parkrun diibaratkan sebagai sebuah keluarga yang sangat harmoni di mana semua pelari dan sukarelawan saling membantu dan mesra.

“Antara pengalaman manis saya setelah 62 kali menjadi sukarelawan adalah apabila dilantik secara rasmi sebagai Translator Ambassador Parkrun Malaysia. Kita mengetahui bahawa Parkrun ini adalah acara global dan bukan bertapak di negara kita sahaja.

“Tugas saya adalah untuk menterjemahkan artikel-artikel atau notis dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Mungkin ada yang menganggap tidak seberapa namun ia memberi makna yang besar buat pencapaian saya sendiri,” ujarnya tiada sebarang bayaran atau kelebihan yang diterima sebagai sukarelawan melainkan berpeluang berjumpa dengan pelari dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, Mohd Amin Ab Halim, 41, berkata semangat kerjasama dalam kalangan sukarelawan merupakan antara sebab dirinya seronok menjadi sebahagian daripada mereka.

“Saya dah lebih 50 kali jadi sukarelawan di Parkrun. Pada awal pagi kita sudah berada di lokasi untuk set up bagi pelepasan larian, letak signage di beberapa tempat manakala selepas tamat larian setiap runner akan dibekalkan dengan barcode sendiri di mana kita perlu ambil barcode tersebut untuk update catatan masa terbaru mereka bagi larian pada hari tersebut,” jelasnya uniknya Parkrun di Putrajaya apabila ada peserta atau sukarelawan yang
membawa juadah untuk jamuan beramai-ramai.

Mohd Amin turut mengharapkan agar lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam kesukarelawanan kerana pelbagai manfaat dapat diperoleh meskipun tiada sebarang bayaran diberikan.

“Selain dapat menyihatkan tubuh badan, sukarelawan juga berpeluang untuk berkenalan dengan orang baru seterusnya build networking yang akan memberi manfaat pada masa akan datang,” ujarnya yang mengharapkan aktiviti Parkrun akan diadakan di setiap negeri. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas