Berita

Sultan Pahang titah peniaga, PBT fahami peranan dan tanggungjawab masing-masing

Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, berkesempatan menziarahi peniaga belon.
- Diterbit 30 Mac 2025 5:15 PM MYT

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menasihatkan para peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di Pahang agar memahami serta melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab.

Baginda bertitah, suasana perniagaan yang rancak menjelang Aidilfitri sememangnya memberi peluang kepada peniaga untuk meningkatkan sumber pendapatan. Namun, segala urusan jual beli perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Apa jua bentuk perniagaan yang dijalankan perlu mengikut peraturan, termasuk permohonan lesen atau permit perniagaan oleh peniaga. PBT pula perlu memastikan penyediaan lokasi niaga yang khusus dan selamat untuk semua pihak.

“Sebarang isu atau permasalahan yang timbul perlu diselesaikan secara bijaksana, tanpa menimbulkan kekecohan atau insiden yang boleh mencetuskan kecederaan,” titah Baginda menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang hari ini.

Baginda turut mengingatkan agar peniaga di Pahang memastikan mereka memiliki lesen yang sah serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Pada masa sama, penguat kuasa diingatkan supaya menjalankan tugas dengan berhemah dan penuh budi bicara tanpa menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan.

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, berkesempatan menziarahi seorang peniaga belon yang terlibat dalam insiden bersama penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu.

TENGKU Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, berkesempatan menziarahi peniaga belon.

Peniaga berkenaan, Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, kini dirawat di Hospital Serdang selepas mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.

Tengku Muhammad Iskandar yang tiba kira-kira pukul 12.30 tengah hari turut bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan peribadi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sebagai tanda keprihatinan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas