SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, bagi tempoh lima tahun hari ini.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Pada istiadat itu, ia akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk yang tempoh sama.
Baginda juga akan menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan Raja-Raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan
Baginda yang sebelum berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada 7.45 pagi dan dijadual berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke ibu negara.
Pesawat yang membawa Sultan Ibrahim ke Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9.45 pagi sebelum Baginda berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.
Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015. – WILAYAHKU