Atlet Wilayah

SUKMA2024: Ibu segala pingat sah milik WP

- Diterbit 24 Ogos 2024 8:40 PM MYT

MISI memburu ibu segala pingat menerusi acara bola sepak lelaki kini sampai ke penghujungnya dengan menyaksikan ia menjadi milik Wilayah Persekutuan setelah menumpaskan Melaka 2-1.

Pada aksi perlawanan akhir Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang diadakan di Stadium Mukah itu menyaksikan pasukan Wilayah Persekutuan terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi tandukan Muhammad Harith Imran Hairee.

Tersentak dengan jaringan lawan, anak buah Mohd Noor Md Derus terus memperkemas permainan dan melancarkan beberapa siri serangan namun barisan pertahanan Wilayah Persekutuan tangkas mematahkan serangan skuad muda Hang Tuah untuk menamatkan babak pertama dengan 1-0.

Bagaimanapun, Melaka berjaya menyamakan kedudukan di babak kedua permainan hasil rembatan deras Mohamad Farish Ainun Aswadi pada minit ke-53 menewaskan penjaga gawang Wilayah Persekutuan, Mohammad Hafizy Nadzli.

Terus menampilkan permainan yang baik, Wilayah Persekutuan berjaya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-69 menerusi Nu’man Hakim Abdul Rahman.

Dalam keadaan kedua-dua pasukan mencari jaringan tambahan, satu insiden pergaduhan telah berlaku sehingga menyebabkan penyerang skuad Hang Tuah dilayangkan kad merah setelah pengadil mengesan perkara berkenaan serta terdapat sentuhan terhadap pemain lawan pada minit ke-72.

Perlawanan diteruskan di mana Melaka bermain dengan 10 pemain sehingga wisel penamat ditiupkan dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, kemenangan ini juga menyaksikan skuad bimbingan Muhammad Nidzam Adzha Yusoff mencatat nama selaku pemenang pingat emas bola sepak SUKMA yang baharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas