Atlet Wilayah

SUKMA XXI: WiPers sasar 70 emas, juara keseluruhan

- Diterbit 19 Julai 2024 3:30 PM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) menggalas misi besar apabila menyasarkan 70 pingat emas bagi memastikan matlamat untuk muncul juara pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini menjadi kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan sasaran itu dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA XXI MSN 2024 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Jabatan Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

“Sasaran tersebut bersandarkan kejayaan WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan merangkul 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa pada SUKMA 2022.

“Ia memberi keyakinan kepada saya untuk menetapkan sasaran ini. Selepas kali terakhir memenangi juara keseluruhan pada SUKMA 2014, sudah semestinya harapan besar buat kontinjen supaya muncul kembali sebagai juara keseluruhan selepas 10 tahun menanti,” ujar beliau.

Zaliha turut mengumumkan insentif habuan wang tunai berjumlah RM5,000 menanti atlet kategori individu yang memenangi pingat emas pada temasya SUKMA 2024 manakala kategori berpasukan bakal menerima imbuhan sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000 sebagai pembakar semangat kontinjen.

“Untuk pingat perak, atlet individu bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, RM1,000 hingga RM1,500 pula untuk atlet berpasukan manakala pemenang gangsa menerima RM1,000 dan atlet berpasukan (RM500 hingga RM700).

“Jurulatih atlet berkenaan pula bakal menerima RM1,000 bagi kategori sukan individu dan sukan berpasukan manakala untuk acara berpasukan pula akan mendapat imbuhan RM500.

“Seterusnya, pengurus pasukan akan ditawarkan insentif RM500 bagi setiap sukan yang memperoleh pingat emas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata WiPers menghantar antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan penyertaan keseluruhan 1,011 atlet serta pegawai (705 atlet) pada SUKMA XXI Sarawak 2024 dan akan menyertai kesemua 37 jenis sukan.

Pada majlis tersebut, Zaliha turut mengumumkan Ketua Kontinjen ke SUKMA 2024 adalah Datuk Parang Abai @ Thomas manakala Timbalan Ketua Kontinjen I, Nik Shukri Nik Soh, Timbalan Ketua Kontinjen II, Naquib Hamdan, Timbalan Ketua Kontinjen III, Fadzilah Mahmud@Mamud dan Pengarah Operasi, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh.

Perenang, Chong Xin Lin pula menjadi atlet wanita pertama yang diberi kepercayaan sebagai pembawa bendera kontinjen WiPers pada SUKMA kali ini.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas