Berita

SUKMA platform terbaik lahir atlet elit negara

Foto: Majlis Sukan Negara Malaysia
- Diterbit 26 Ogos 2024 12:11 PM MYT

SUKAN Malaysia (SUKMA) merupakan platform penting untuk menyediakan atlet elit negara untuk beraksi di Sukan Olimpik kelak.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata seorang atlet yang beraksi di Olimpik tidak muncul begitu sahaja dan prestasi mereka adalah hasil usaha selama bertahun lamanya.

“Bakat yang kita asah di peringkat daerah, di peringkat negeri seperti SUKMA inilah bakat yang menjadi harapan negara di temasya sukan antarabangsa.

“Atlet kita di sini adalah bakal atlet kita di Olimpik kelak. Mungkin dalam kalangan kita ada atlet Olimpik Brisbane 2032. Itulah pentingnya platform seperti SUKMA yang perlu diberi penekanan yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKMA 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak pada Khamis.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan mengenai kepentingan semangat kesukanan sama ada semasa atau selepas bertanding.

“Saya menggunakan contoh wira dan wirawati negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Walaupun diduga dengan penyingkiran pada penampilan yang dirancang sebagai Olimpik terakhirnya, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tetap memberitahu penyokongnya bahawa beliau masih belum berputus asa,” ujarnya.

Sementara itu, Hannah berkata tuan rumah Sarawak adalah tempat terbaik untuk merealisasikan semangat perpaduan.

“Apabila saya melihat keliling stadium ini, saya merasakan bahawa ini adalah Malaysia. Atlet muda dari seluruh pelosok negara dihimpunkan di satu tempat.

“Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong dan peminat yang ramai, anda semua mempunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan yang mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik,” ujar beliau.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sebagai rekod, SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas