ATLET wushu, Kwan Yong Xin, 16, berjaya menebus kekalahannya semalam dengan meraih pingat perak kedua buat kontinjen Wilayah Persekutuan hari ini.
Yong Xin tampil dengan lebih cemerlang itu bagaimanapun terpaksa akur apabila lawannya dari Selangor berjaya mengutip sebanyak 9.606 mata berbandingnya 9.600 mata dalam acara taijiquan wanita.
Jelasnya kekalahan tipis tersebut sedikit pun tidak melunturkan semangat bahkan berazam untuk terus memburu pingat emas bagi penampilan terakhir pada SUKMA akan datang.
“Sejujurnya persembahan saya pada perlawanan semalam sangat teruk sehinggakan stres tapi dengan bantuan serta sokongan daripada jurulatih dan senior, saya berjaya menenangkan diri sebelum perlawanan hari ini bermula,” katanya ketika ditemui Wilayahku di Stadium Wushu, Kuching hari ini.
Yong Xin berkata persiapan bagi menghadapi SUKMA 2024 telah bermula sejak awal tahun ini.
“Kebetulan tahun ini juga banyak pertandingan antarabangsa yang dianjurkan sekali gus menjadi platform terbaik untuk saya berlatih dan melakukan penambahbaikan sehingga berjaya meraih pingat perak dan gangsa untuk SUKMA kali ini dalam dua acara berbeza.
“Secara keseluruhnnya saya amat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan untuk perlawanan pada kali ini dan akan lebih fokus untuk melakukan terbaik supaya impian untuk meraih emas pada temasya akan datang menjadi kenyataan,” ujarnya yang juga merupakan pemenang pingat perak pada temasya SUKMA yang lalu.
Untuk rekod, sehingga kini acara wushu berjaya menyumbangkan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa buat kontinjen Wilayah Persekutuan. Esok merupakan hari terakhir bagi acara wushu dan satu pingat akan dipertandingkan dalam acara Qianghsu wanita. – WILAYAHKU