Berita

SUKMA 2024: WP unggul di kolam renang

- Diterbit 24 Ogos 2024 4:41 PM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam acara renang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 bagi dua edisi berturut-turut.

Dalam edisi kali ini, Wilayah Persekutuan berjaya meraih 16 pingat emas, lapan perak dan tujuh gangsa di mana rekod tersebut lebih baik berbanding temasya lalu iaitu 11 pingat emas, 11 perak dan tiga gangsa.

Jurulatih skuad renang Wilayah Persekutuan, Sazali Salleh berkata kem renang juga berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Di awal temasya sasaran yang diletakkan untuk acara renang adalah 10 pingat emas tapi kita hadiahkan lebih.

“Dalam mencapai matlamat yang besar sebenarnya atlet-atlet kita telah pun mencapai pencapaian peribadi mereka seperti pecahan rekod, masa terbaik dan lain-lain. Secara keseluruhan atlet dah pamerkan persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Sazali berkata pasukannya menerima saingan hebat daripada pasukan tuan rumah dan juga Selangor bagi merebut gelaran juara keseluruhan dalam acara renang.

“Kalau ikutkan pungutan pingat kita sama dengan Selangor namun semalam yang juga merupakan hari terakhir acara renang dipertandingkan, atlet kita berjaya merampas empat pingat emas dan meletakkan Wilayah Persekutuan di kedudukan pertama.

“Tidak dapat dinafikan kejayaan ini adalah kejayaan bersama baik daripada atlet, jurulatih, pegawai sukan, ibu bapa dan juga penyokong yang sentiasa memberi sokongan sehingga tamat acara,” ujarnya.

Dalam pada itu, juga merupakan Jurulatih Skuad Renang Wilayah Persekutuan, Daniel Bego berkata meskipun ia merupakan penampilan yang terbaik tetapi masih terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi memastikan momentum cemerlang ini dapat diteruskan pada temasya seterusnya.

“Kita tidak akan berehat dari segi persediaan. Untuk makluman, temasya kali ni dalam 50 peratus atlet membuat penampilan yang pertama di pentas SUKMA jadi kita mempunyai masa lagi untuk menggilap potensi atlet dengan lebih maksimum agar kemenangan dapat dicapai pada temasya seterusnya,” ujarnya.

Daniel turut berharap agar dengan kejayaan ini akan membuat perenang untuk terus berjuang, terus berenang dan dapat capai masa peribadi yang terbaik.

Terdahulu, secara keseluruhan Wilayah Persekutuan mengungguli acara di kolam renang apabila berjaya meraih 19 pingat emas, 12 perak dan 11 gangsa bagi acara terjun dan renang manakala Sarawak terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua meraih (18-4-9) manakala Selangor di tempat ketiga (13-19-7). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas