Atlet Wilayah

SUKMA 2024: Wilayah Persekutuan takluk pentas gimrama

BARISAN atlet yang berjaya meletakkan WP juara keseluruhan acara gimrama.
- Diterbit 20 Ogos 2024 10:46 AM MYT

GIMNAS Wilayah Persekutuan terus mendominasi acara gimrama dengan meraih kesemua pingat emas yang ditawarkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Skuad gimnas Wilayah Persekutuan jelas berada di kelas tersendiri dengan memenangi pingat emas acara all-around berpasukan pada hari pertama sukan itu dipertandingkan dan ia merupakan kemenangan berturut-turut untuk dua edisi SUKMA.

Aksi cemerlang diteruskan pada hari berikutnya (19 Ogos), pasukan Wilayah Persekutuan menambah koleksi pingat dengan lima emas dan dua perak pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Meskipun merupakan atlet termuda, Cassidy Tan Jia Xin, 13, muncul atlet paling cemerlang apabila menambah dua lagi koleksi emas dan satu perak.

Cassidy memperagakan aksi memukau untuk meraih emas acara bola dengan mengutip 26.55 mata manakala rakan sepasukannya, Rhea Dhaliwall (25.35) dan Lee Li Momoka Sam (24.20) dari Selangor, masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Cassidy turut cemerlang dalam acara riben dengan mata keseluruhan 23.7 mata, manakala Dhaffatul Nurbaiti Harman (22.40) dari Negeri Sembilan dan Lee Li (21.9) berpuas hati dengan perak dan gangsa.

Sementara itu, seorang lagi atlet Wilayah Persekutuan, Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan mempamerkan persembahan menakjubkan untuk meraih emas dalam acara belantan dengan catatan 27.2 mata.

Nur Zhafirah, 14, mengetepikan Cassidy (25.65) dan Jenevieve Tan Su Qi (24.15) dari Sarawak, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Bagi acara gelung, Nur Zhafirah merangkul emas dengan catatan 23.2 mata menewaskan pencabarnya, Dhaffatul Nurbaiti (24.7) dan Lee Li (23.65).

Wilayah Persekutuan menutup tirai gimrama dengan merangkul pingat emas acara latihan berkumpulan bagi aparatus lima gelung 10 belantan mengutip markah keseluruhan 48.30 mata menewaskan Selangor (42.95) dan Negeri Sembilan (42.25).

Kejayaan tersebut berjaya meletakkan Wilayah Persekutuan sebagai juara keseluruhan bagi acara gimrama dengan pungutan tujuh emas dan tiga perak sekali gus melepasi sasaran yang diletakkan iaitu lima pingat emas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas