SKUAD olahraga Wilayah Persekutuan menutup tirai acara tersebut dengan cemerlang apabila berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Menurut Ketua Jurulatihnya, Norshamizi Ismail dia amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para atlet meskipun tidak berjaya menjadi juara keseluruhan bagi acara olahraga.
“Sasaran awal kita pada temasya kali ini adalah lima pingat emas tapi kita dapat lebih iaitu enam emas.
“Tambahan pula para atlet juga dapat memperoleh kejayaan peribadi seperti yang telah ditetapkan dan saya rasa ini merupakan satu pengalaman yang sangat baik untuk kontinjen Wilayah Persekutuan,” katanya kepada Wilayahku.
Tambahnya lagi dengan prestasi yang ditunjukkan ini merupakan petanda baik buat Wilayah Persekutuan di mana kita mempunyai pelapis yang berpotensi untuk terus memberikan saingan pada temasya akan datang.
“Program-program akan terus disusun untuk memastikan olahraga akan terus membawa kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya.
Mengulas mengenai penambahbaikan yang akan dilakukan, Norshamizi berkata pihaknya akan memberi tumpuan terhadap penyusunan perancangan serta program yang bersesuaian buat para atlet.
“Penyusunan perancangan dan kerjasama yang baik perlu terus dititikberatkan pada masa akan datang bagi memastikan kejayaan pada temasya kali ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Atlet-atlet juga perlu teruskan latihan dan berusaha dengan lebih gigih selepas ini memandangkan standard SUKMA kali ini boleh dikatakan sudah semakin mencabar,” katanya.
Dalam pada itu, Norshamizi turut berterima kasih di atas sokongan dan dorongan daripada pihak terlibat yang membuatkan kejayaan ini tercapai.
“Saya berasa bangga dengan komitmen setiap ahli kontinjen olahraga Wilayah Persekutuan yang telah bertungkus-lumus dari mula sehingga kini.
“Ribuan terima kasih juga di atas sokongan dan dorongan daripada pihak Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Persatuan Olahraga Kuala Lumpur, Persatuan Olahraga Putrajaya, pengurus pasukan, para jurulatih dan khasnya kepada para atlet yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan kejayaan pada temasya kali ini.
“Saya juga amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang menyokong pasukan olahraga secara langsung mahupun tidak langsung,” ujarnya.
Skuad olahraga Wilayah Persekutuan berjaya meraih enam pingat emas, enam gangsa dan dua perak secara keseluruhan sekali gus berada di kedudukan ketiga manakala Johor terus kekal mendominasi acara tersebut dengan (9-5-4) manakala Selangor di kedudukan kedua dengan (8-5-4) pungutan pingat. – WILAYAHKU