TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak melabuhkan tirai selepas 13 hari diadakan.
Upacara penutupan rasmi acara sukan dwitahunan terbesar Malaysia itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sarawak muncul juara keseluruhan edisi ke-21 itu selepas kali terakhir menjulang kejuaraan genap 30 tahun lalu iaitu pada 1994.
Kontinjen Sarawak meraih 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa mengatasi Wilayah Persekutuan yang mengekori rapat dengan 75 pingat emas, 65 perak dan 72 gangsa.
Selangor berada di kedudukan ke-3 dengan 55 emas, 64 perak dan 57 gangsa manakala juara edisi lalu Johor berada di tangga ke-6 dengan 35 emas, 42 perak dan 58 ganga.
Teka-teki atlet terbaik SUKMA 2024 terjawab apabila perenang Selangor, Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan, Gan Chen Jie diumum sebagai Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, piala pusingan serta piala iringan yang disampaikan Perdana Menteri.
Persembahan kumpulan De Fam dan kemunculan Ratu Rock Ella yang mendendangkan lagu keramat Standing In The Eyes Of The World turut memeriahkan upacara penutupan.
Pertunjukan bunga api mengakhiri upacara penutupan SUKMA 2024, yang turut ditayangkan menerusi skrin di dalam Stadium Perpaduan selain disaksikan orang ramai di Dataran Perayaan.
Selangor merupakan tuan rumah seterusnya bagi temasya dwitahunan itu. – WILAYAHKU