ATLET Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim berjaya mendominasi acara terjun di hari ketiga acara tersebut berlangsung dengan mengutip dua daripada tiga emas yang dipertandingkan semalam.
Nurqayyum yang juga merupakan atlet pelapis kebangsaan itu mengungguli acara 1 meter (m) papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 sekali gus menamatkan penguasaan tuan rumah dalam acara terjun yang bermula Isnin lepas.
Atlet berusia 18 tahun itu berjaya mengumpul 346.05 mata selepas enam terjunan bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki bersama gandingannya, Yong Rui Jie.
Manakala perak dimenangi pasangan Terengganu (289.20) dan gangsa dimiliki oleh gandingan Perak dengan kutipan 277.86 mata.
Nurqayyum Nazmi meneruskan momentum cemerlang dengan meraih satu lagi emas menerusi acara 1m papan anjal lelaki dengan kutipan 335.35 mata diikuti penerjun tuan rumah bgai pingat perak dan gangsa dengan kutipan mata 277.40 dan 273.65 mata.
“Saya sangat gembira kami memenangi emas pertama untuk Wilayah Persekutuan dalam acara terjun. Kami mahu melakukan terbaik dalam acara ini kerana Sarawak mendominasinya sejak dua hari lepas, rasa penat lelah selama ini terbayar,” katanya selepas acara penyampaian pingat semalam.
Sementara itu, penerjun Sarawak Nurul Farisya Alia Affendi, 15, yang membuat penampilan pertama kali di SUKMA menggondol pingat emas platform wanita dengan 241.90 mata, meninggalkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 yang mewakili Wilayah Persekutuan, Lee Yiat Qing (241.10) serta rakan sepasukan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj (231.45) bagi perak dan gangsa.
Sehingga kini Sarawak masih mendahului kutipan pingat emas acara terjun dengan enam emas, satu perak dan satu gangsa diikuti Wilayah Persekutuan (2-3-3), Terengganu (0-2-3), Perak (0-1-1) dan Sabah (0-1-0).
Dua lagi pingat emas akan dipertaruhkan hari ini dalam acara 3m papan anjal seirama wanita dan platform lelaki manakala acara 3m papan anjal wanita dan platform seirama campuran akan diadakan pada hari terakhir temasya. – WILAYAHKU