Atlet Wilayah

SUKMA 2024: Kristian tambah koleksi pingat emas

- Diterbit 22 Ogos 2024 4:59 PM MYT

PELARI jarak jauh Wilayah Persekutuan, Kristian Tung meneruskan momentum cemerlang apabila berjaya menambah koleksi pingat emas peribadinya di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menerusi acara yang diadakan pagi tadi.

Atlet berusia 20 tahun itu berjaya menamatkan lariannya dalam saingan 5,000 meter (m) dengan catatan 15 minit 20.50 saat (s) meninggalkan pencabarnya dari Perak, Shawn Roshan Singh (15:27.37s) dan Muhammad Farooq Muhammad Zubair Kanan dengan 15:30.45s.

Kristian berkata dia berjaya melunaskan misinya untuk membawa pulang tiga emas.

“Ia jadual yang padat kerana 10,000m dan 1,500m berlangsung pada hari yang sama, bagaimanapun saya sangat gembira kerana berjaya membawa pulang tiga pingat emas,” katanya.

Selasa lepas, Kristian merangkul dua emas pada hari yang sama selepas mendominasi saingan final 10,000m dengan catatan 33:48.049s dan 1,500m dengan masa 4:04.62s.

Kejayaannya merangkul emas dalam saingan 10,000m, 1,500m dan 5,000m pada temasya kali ini juga menjadikannya raja lari jarak jauh SUKMA. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas