KONTINJEN Wilayah Persekutuan berjaya meraih pingat emas kedua menerusi acara wushu melalui atlet Wong Hong Man, 18.
Hong Man berjaya mengutip mata 9.580 sekali gus mengenepikan pihak lawan dari Kedah dan Kelantan masing-masing dengan 9.556 dan 9.530 mata dalam acara Jianshu lelaki.
Hong Man mengakui perasaan takut dan gementart tidak menghalang dirinya untuk tampil dengan aksi cemerlang seterusnya merangkul pingat emas pertama buat dirinya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA).
“Saya mengalami kecederaan yang membuatkan sukar untuk saya melakukan aktiviti melompat dan juga berlari selama tiga bulan bermula Mei sehingga Ogos tahun lalu.
“Bagaimanapun sesi latihan masih perlu diteruskan. Pada awal Januari lalu, saya juga ada menyertai latihan di China selama sebulan dan perkara paling utama saya dapat pelajari adalah ketahanan mental kerana di sana saingannya lebih hebat. Dari situ saya perlu banyak belajar tenangkan diri,” katanya kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut, Hong Man berkata dia tidak sangka dirinya berjaya merangkul pingat emas pada acara hari ini.
“Saya takkan mampu berjaya tanpa sokongan daripada ibu bapa, jurulatih dan juga kawan-kawan,” ujarnya.
Hong Man bakal beraksi sekali lagi esok dalam acara wushu dan berharap dapat menampilkan aksi terbaik.
“Acara yang paling saya takutkan adalah acara pada hari ini namun saya mampu atasinya. Semoga esok akan lebih baik,” ujarnya. – WILAYAHKU