KEJAYAAN Sarawak menjadi juara keseluruhan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 baru-baru ini membuktikan penganjuran negeri itu sebagai tuan rumah dilihat sangat tersusun.
Ahli Parlimen Sarawak dari Julau, Datuk Larry Sng berkata beliau sangat berpuas hati dengan penganjuran SUKMA 2024.
“SUKMA 2024 yang dianjurkan baru-baru ini tersusun dengan baik dan para atlet berseronok,” katanya.
Terdahulu, Sarawak mengesahkan gelaran juara keseluruhan SUKMA 2024 dengan kelebihan sebutir emas mengatasi Wilayah Persekutuan, selepas mengharungi perebutan paling sengit. Kejayaan ini merupakan kali keempat selepas muncul juara edisi 1990, 1992 dan 1994 dengan mengumpul keseluruhan 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.
Larry berharap Sarawak dapat menganjurkan Sukan SEA pada tahun 2027 akan datang.
Sementara itu, seorang lagi anak Sarawak, Khartini Johari berkata penganjuran SUKMA 2024 baru-baru ini membuktikan Sarawak mampu menjadi tuan rumah yang terbaik untuk kemudahan para atlet dari seluruh Malaysia.
“Persiapan rapi ditambah dengan prasarana moden menjadikan penganjuran SUKMA lebih meriah dan berjaya menambat hati rakyat Malaysia.
“Maka amat bertepatan sekali apabila Anwar bersetuju agar Sarawak terpilih sebagai salah satu negeri yang akan menganjurkan Sukan SEA di Malaysia tahun 2027,” katanya. – WILAYAHKU