SEBANYAK 15 bendera negeri yang mengambil bahagian dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) termasuk Brunei Darussalam dikibarkan di perkarangan Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pagi ini.
Dalam Majlis Selamat Datang dan Menaikkan Bendera Kontinjen SUKMA MSN XX 2022, bendera setiap negeri dinaikkan sambil diiringi lagu rasmi setiap negeri yang mengambil bahagian.
Upacara dimulakan dengan bacaan doa seterusnya nyanyian lagu Negaraku serta lagu negeri-negeri sejurus ketibaan Pengerusi Jawantankuasa Pengelola, Datuk Jana Santhiran Muniayan tepat pukul 9 pagi.
Terdahulu, seawal pukul 8 pagi setiap kontinjen negeri sudah bersedia dalam perbarisan masing-masing sambil mengenakan pakaian kontinjen.
Turut hadir mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan pada majlis ini adalah Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Parang Abai @ Thomas dan Pengarah Operasi, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.
Dalam penganjuran SUKMA kali ke-20 yang bermula 16 September hingga 24 Sepetember 2022, Wilayah Persekutuan turun dengan kekuatan 603 atlet yang akan bertanding dalam 33 jenis sukan dengan sasaran sebanyak 70 pingat emas. –WILAYAHKU