TASK Force Thaipusam menganggarkan 500 sukarelawan di bawah Task Force Thaipusam akan bertugas di Kuil Batu Caves selama tiga hari bermula 9 Februari depan.
Pengerusinya, G Gunaraj berkata, sukarelawan akan menumpukan kerja pembersihan, penguatkuasaan dan kesedaran.
“Setiap tahun, kita dibelenggu masalah sampah dan cuba cari jalan menyelesaikan masalah kebersihan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk dapat tangani isu ini.
“Ia semakin berkurangan melalui kempen larangan penggunaan polistirena dan plastik. Sekarang semua NGO yang memberi makanan percuma juga bertukar menggunakan pinggan serta cawan biodegrasi,” katanya pada sidang akhbar Task Force Thaipusam di Wisma MCIS.
Menurutnya, task force itu ditubuhkan sejak 2014 terdiri daripada gabungan bersama badan bukan kerajaan (NGO) India antaranya Malaysia Hindhudharma Maamandram (MHDM) and the Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Malaysia Ayyapppa Seva Sanggam.
Sementara itu, Gunaraj berkata, turut serta sebagai sukarelawan ialah Clean Taipusam dan Cuci Malaysia selain Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang akan menghantar 200 sukarelawan bagi perayaan Thaipusam kali ini.
Katanya, selain Kuil Batu Caves, sukarelawan di bawah task force berkenaan juga akan ditempatkan di kuil tumpuan lain termasuk di Pulau Pinang, Kuala Selangor, Selangor, Sungai Petani, Kedah dan Sungai Siput, Perak.
“Sukarelawan ini bertanggungjawab bukan sekadar menjaga kebersihan tetapi juga menjalankan kempen kesedaran pengurusan sampah kepada pengunjung bagi kelestarian berterusan.
“Mesyuarat bersama MPS yang akan diadakan pada minggu depan turut akan menekankan penyediaan tong sampah mencukupi dan kekerapan pembersihan di lokasi.
“Dianggarkan satu juga pengunjung akan menghadiri perayaan Thaipusam di Kuil Batu Caves dan kita sasarkan sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan secara syif ditempatkan di sana,” katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan PDRM untuk kelancaran trafik selain pemantauan isu kutip parkir kepada pengunjung.
“Kita turut menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam disediakan seperti komuter dan bas.
“Kita juga boleh mengusulkan cadangkan penggunaan kawasan parkir pasar raya berhampiran yang kini ditutup untuk kemudahan pengunjung.
“Ini bagi mengatasi isu parkir bahu jalan dan parkir berlapis yang turut menyumbang isu kesesakan di sana,” katanya. – WILAYAHKU