BERSEMPENA sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025, pelbagai aktiviti menarik disusun, salah satunya program KUL Vibes 2023 yang diadakan Sabtu lalu, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Acara anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah dan memupuk semangat perpaduan di kalangan warga Wilayah Persekutuan.
Perasmian program disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang turut meluangkan masa menyaksikan pertandingan berlangsung.
Antara aktiviti yang menarik perhatian ialah Sukaneka Tradisional yang menyaksikan sebanyak 10 permainan tradisional dipertandingkan dalam dua kategori iaitu Terbuka dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Antara acara yang mencuri tumpuan ialah lari dalam guni, tapak gajah, boling kelapa, tarik upih dan terompah gergasi.
Salah seorang peserta, berkata program itu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dan memberi peluang kepada generasi muda mengenali permainan tradisional.
“Dulu bermain dengan kawan-kawan di kampung, sekarang boleh ajak anak-anak pula mencuba permainan ini,” katanya.
Dalam kategori Terbuka, pasukan Lalalitamplom dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM1,500, diikuti Dak Dak Hafest (RM800), Geng Lengoi (RM500), dan Five GL (RM300).
Bagi kategori OKU, pasukan Well Done memenangi RM1,000, diikuti Best (RM700), Sugee (RM500), dan Pelangi (RM300).
Hadiah disampaikan Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Izwan Razif Salehaped.
Penganjuran sukaneka itu mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membuktikan permainan tradisional masih relevan serta mampu menyatukan masyarakat.
Program sedemikian diharap dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan dan mempromosikan budaya di Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur.
Dengan kejayaan KUL Vibes, acara seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang agar nilai warisan permainan tradisional terus dipelihara. – WILAYAHKU