TEMASYA Sukan SEA 2027 yang melibatkan penganjuran bersama Kuala Lumpur dan tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang dilihat mampu mempromosikan kepelbagaian budaya negara ini.
Menurut legenda olahraga negara, Datuk Marina Chin, selain mampu mempromosikan budaya Malaysia ia juga dilihat dapat mengurangkan kos Kerajaan Persekutuan dalam menganjurkan temasya dwitahunan itu.
“Saya rasa ini adalah idea yang bagus kerana negeri terlibat dapat menonjolkan keistimewaan masing-masing dan membantu kerajaan untuk jadi tuan rumah Sukan SEA.
“Masalah kita juga akan berkurang, lagi pula tidak perlulah semua berkumpul di satu tempat kerana nanti akan ada masalah logistik dengan lalu lintas dan sebagainya,” ujar beliau.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menjadi tuan rumah bersama-sama Kuala Lumpur bagi penganjuran Sukan SEA 2027 yang dianggarkan menelan kos RM700 juta.
Hannah menjelaskan kos itu tidak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tetapi dibantu tiga negeri dengan Sarawak menjadi penyumbang terbesar iaitu RM300 juta, Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta.
Selain itu, beliau juga melihat kos anggaran bagi temasya dwitahunan pada 2027 iaitu sebanyak RM700 juta itu memadai dan boleh menampung keseluruhan acara yang bakal diadakan nanti.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Malaysia menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2027.
Menurut Unit Komunikasi Korporat KBS, keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu bersetuju untuk bekerjasama dengan tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersama Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan itu, negeri berkenaan menunjukkan komitmen mereka dengan bersedia menggunakan peruntukan masing-masing untuk menjayakan penganjuran Sukan Sea 2027. – WILAYAHKU