AKUATIK terjun, berbasikal trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy dan tenpin boling antara sukan dijangka menyumbang bilangan pingat yang banyak kepada kontinjen negara dalam Sukan SEA Thailand 2025.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, biarpun begitu penetapan sasaran pingat akan ditentukan kemudian secara bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Ini kerana katanya, pendaftaran akhir atlet bagi menyertai temasya tersebut masih terbuka sehingga September ini.
“Sebagai mana penetapan sebelum ini, sasaran pingat adalah kepada jumlah pingat keseluruhan dan bukannya mengikut warna pingat. Penetapan ini turut mengambil kira saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU).
“Penetapan sasaran pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) bersekali dengan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai sasaran Malaysia bagi temasya Sukan SEA 2025.
Hannah berkata, pendekatan berkenaan merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
Beliau menambah, sehingga kini, seramai 350 atlet di bawah Program Podium daripada 19 jenis sukan dan seramai 261 atlet pelapis kebangsaan daripada 15 jenis sukan sedang giat menjalani program latihan di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih yang berpengalaman.
Katanya, bagi memastikan prestasi atlet-atlet berada di tahap yang baik, MSN bersama PSK, ISN dan jurulatih telah membuat perancangan tahun 2025 menerusi pelan periodisasi pada 13 November lalu.
“Program-program ini akan dilaksanakan mengikut perancangan dan keperluan serta perkhidmatan sokongan yang diberikan agar tahap prestasi atlet negara dalam keadaan terbaik untuk bersaing di Sukan SEA Thailand 2025 serta di kejohanan-kejohanan utama yang lain.
“Pengguguran acara yang dilakukan oleh pihak tuan rumah akan memberi kesan kepada jumlah pingat yang akan dipungut oleh kontinjen negara kerana ia melibatkan acara-acara tumpuan atlet negara seperti sukan akuatik terjun, berbasikal, gimrama, e-sukan dan pencak silat.
“Selain itu, tambahan acara pula akan memberikan kelebihan kepada Thailand selaku tuan rumah dengan penyenaraian acara yang memberikan kelebihan kepada atlet mereka,” katanya.
Terdahulu beliau tidak bersetuju dengan pandangan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai prestasi buruk atlet negara dalam Sukan SEA 2023.
“Saya tak bersetuju kerana atlet kita telah menunjukkan prestasi membanggakan,” katanya. – WILAYAHKU