Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Sukan instrumen terbaik perpaduan masyarakat

- Diterbit 27 Jun 2024 7:11 PM MYT

SUKAN adalah instrumen terbaik untuk perpaduan masyarakat serta platform penyatuan Malaysia Madani yang merupakan satu daripada fokus Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dalam acara sukan ini masyarakat, khususnya murid-murid di peringkat sekolah menengah berganding bahu bekerjasama meliputi masyarakat berbilang kaum serta agama dilihat bersama-sama memberi sorakan dan tepukan semangat kepada semua atlet.

Menurut Wan Azizah, beliau yakin kekuatan sukan telah mencetuskan rasa kekitaan dan semangat berpasukan yang kukuh dalam kalangan atlet serta para penyokong.

“Berdasarkan pencapaian serta statistik bilangan atlet di Kuala Lumpur, dapatlah disimpulkan bahawa sekolah bukan sahaja tempat untuk murid-murid menimba ilmu akademik malahan dapat mengasah bakat mereka dalam bidang sukan.

“Selain itu, pembangunan sukan turut memainkan peranan untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet dalam negeri.

” Ia terbukti melalui kajian dan penyelidikan saintifik sains serta teknologi bagi meningkatkan prestasi atlet sekali gus melahirkan atlet sebagai wakil negeri dan wakil negara ke acara sukan yang lebih berprestij,” katanya.

Beliau berkata demikan semasa merasmikan Majlis Anugerah Juara-Juara MSSWPKL Sesi Akademik 2023/2024 di High Convention Sentul, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, majlis tersebut menunjukkan pelibatan cemerlang murid-murid dari seluruh sekolah Kuala Lumpur dalam arena sukan.

“Bukan sahaja menyumbang nama baik kepada negara tetapi secara asasnya, menggambarkan betapa sektor pendidikan negara kita adalah komprehensif dan sentiasa menyokong potensi dalam bidang yang diminati oleh murid-murid.

“Hal ini menunjukkan bahawa selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyakarat, hubungan yang erat dengan industri, sektor pembangunan murid turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat murid dalam arena sukan baik di sekolah, di universiti mahupun di pentas dunia, ” ujarnya.

Beliau berkata, program pembangunan yang disediakan kepada murid-murid bukan sekadar membentuk pembangunan fizikal semata-mata, bahkan untuk membentuk ’ Thinking Athlete’ supaya murid menjadi atlet yang bijak mengurus diri secara profesional sebelum, semasa dan juga selepas pertandingan.

“Atlet yang bijak biasanya lebih tenang
mengawal emosi dan juga cekap merancang strategi ketika menghadapi pihak lawan semasa dalam pertandingan.

“Selain itu, atlet yang bijak tahu merancang gaya hidup yang bersesuaian dengan peranan sebagai muird dan juga sebagai atlet terutama apabila perlu menghadiri kelas, latihan sukan dan juga pertandingan.

“Pembahagian masa perlu dibuat dengan penuh berdisiplin supaya atlet boleh cemerlang dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan sukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas