SUKAN akan terus menjadi wahana yang utuh dalam mencambah semangat perpaduan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menzahirkan keterujaan atas keupayaan Sarawak menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“Saya zahirkan keterujaan atas keupayaan Sarawak dalam menganjurkan sukan berprestij tinggi selain semangat juang dan persaingan yang sihat di antara negeri serta negara yang terlibat,” katanya di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas hadir bersama dalam Majlis Penutupan SUKMA 2024 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak semalam.
Menurut Anwar, sukan juga boleh dijadikan ruang untuk berusaha menggapai kecemerlangan dan menumbuh sikap disiplin yang tinggi.
Beliau turut mengumumkan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan bersama menganjurkan Sukan SEA 2027 yang akan datang.
“Tahniah kepada kesemua kontinjen negeri dan negara, pelatih dan atlet yang bersungguh-sungguh menjayakannya,” katanya. – WILAYAHKU