Sukan

Sukan bentuk masyarakat sihat

ZALIHA beramah mesra dengan sebahagian atlet yang menyertai Karnival Sukan di Kompleks Futsal Presint 18.
- Diterbit 6 Mac 2025 1:40 PM MYT

PROGRAM membudayakan hidup sihat khususnya melalui sukan merupakan pelaburan jangka panjang bagi membentuk masyarakat yang lebih sihat.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa merujuk kepada laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 apabila 54.4 peratus rakyat mengalami berat badan berlebihan.

Jelasnya, rekod itu meningkat tiga peratus berbanding laporan NHMS sebelumnya.

“Kerana itulah saya selalu tekankan tentang program pembudayaan hidup sihat ini.

“Ini adalah satu pelaburan jangka panjang untuk kita membentuk masyarakat yang lebih sihat, mengurangkan kebergantungan kepada kos kesihatan negara serta secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Karnival Sukan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim; Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Nasir Ali dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh.

Zaliha berkata, penganjuran karnival sukan itu secara asasnya boleh menjadi program serampang dua mata, iaitu selain memupuk pembudayaan sihat tersebut, ia menjadi medan mengenal pasti bakat-bakat baru yang boleh dilatih dan dibentuk sebagai atlet Wilayah Persekutuan, khususnya atlet-atlet muda untuk diketengahkan ke Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor pada tahun depan.

Katanya, Wilayah Persekutuan sememangnya menjadi pesaing sengit kepada semua kontinjen.

“Kalau tahun lepas, kita di kedudukan kedua, tahun depan di Selangor, kita kena jadi juara. Kita juga perlu meluaskan pencarian bakat, tidak hanya bergantung kepada pemantauan persatuan sukan. Saya percaya ramai bakat muda yang masih belum dikenali, dan inilah peluang mereka untuk menyerlah,” jelasnya.

Beliau menambah sukan juga merupakan satu industri yang menjana ekonomi.

Beliau mengambil contoh pelancongan sukan yang menyumbang kira-kira RM5 bilion setahun kepada ekonomi negara.

“Ini bermakna pelancongan berasaskan sukan ini ada sasaran kumpulan mereka yang tersendiri. Kerana itu, di Wilayah Persekutuan, saya selalu sebutkan tentang industri ini, khususnya di Labuan.

“Alhamdulillah, di Labuan tahun lepas kita ada Labuan International Sea Challenge (LISC) yang juga menarik pengunjung dari luar negara, namun saya rasa kita perlukan promosi yang lebih mega untuk menjadikan kita lebih signifikan dalam menyumbang kepada sektor ini.

“Contoh lain, baru-baru ini pada Larian Hari Wilayah Persekutuan 2025, kita berjaya menarik hampir 10,000 penyertaan. Saya yakin, melalui pengukuhan acara-acara sukan yang berprestij ini, Wilayah Persekutuan bukan sahaja boleh meningkatkan penyertaan rakyat dalam aktiviti sukan, tetapi juga dapat membantu sektor-sektor sokongan seperti perhotelan, makanan dan industri sokongan yang lain,” katanya.

Terdahulu hampir 3,000 peserta memeriahkan Karnival Sukan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025 dengan enam sukan dipertandingkan di Putrajaya iaitu futsal, bola jaring, kabaddi, taekwondo, pushbike dan e-sports.

Ia turut diadakan di Kuala Lumpur dan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas