Artikel

Suka duka di Puduraya

PUDURAYA turut menjadi ikon Kuala Lumpur dan diharapkan kekal sebagai bingkisan sejarah. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 Oktober 2023 4:30 AM MYT

“Di perhentian Puduraya
tempat mula bersua
dalam bas berwarna biru
menuju ke utara.
Senyum terukir untukmu
kau membalas
tunduk malu sungguh ayu
ku terpanah godaan cinta pertama.”
(Lagu Di Perhentian Puduraya nyanyian Kembara)

KEPADA warga Kuala Lumpur dekad 1980-an, Puduraya yang terletak di kawasan Pudu di tengah bandar raya itu tidak sekadar stesen bas terbesar dan paling sibuk. Puduraya kepada sebahagian warga kota pada dekad berkenaan adalah suatu yang sangat monumental.

Puduraya meninggalkan suatu rasa yang sangat mengesankan dan menjadi ingatan pada satu era dan suatu kelompok sosial. Daripada pandangan zahirnya ia tidak ubah seperti banyak stesen bas yang lain – mungkin bezanya pada segi saiz.

Bagaimanapun Puduraya merakamkan setiap peristiwa yang dilalui oleh individu dan stesen bas besar itu menjadi latarnya. Ia muncul dalam ingatan sama ada yang manis dan juga pahit. Puduraya seperti melihat kehidupan manusia yang keluar dan masuk dalam perutnya.

Itulah gerbang yang mengucap selamat datang kepada perantau yang mencuba nasib di kota ini. Dengan jiwa yang masih tebal nilai-nilai kampungnya, mereka melangkah keluar dari Puduraya bermulalah asimilasi dengan nilai-nilai kota yang moden dan rakus. Kalau tewas pasti hanyut dan tenggelam.

Maka stesen bas itu selalu mengingatkan pada fragmen waktu yang suka dan duka dan yang telah terbang jauh daripada alam masa kini. Sekalipun begitu ingatan yang silih berganti pada peristiwa tertentu menjadikan Puduraya hidup segar seperti era kemuncaknya. Hakikatnya masa itu sudah jauh berlalu dan yang tinggal hanyalah satu ingatan, satu kenangan.

Ingat Puduraya akan ingat juga pada kerenah kehidupan manusia di sekitar bangunan yang didirikan pada 1973 dan dirasmikan pada 2 Oktober 1976. Ia menjadi terminal akhir perjalanan ke kota – dari utara, selatan dan pantai timur. Keberadaannya sebagai penghubung pergerakan manusia telah terakam pada diri-diri tentang cerita dan peristiwa masing-masing.

Kalau Sudirman berkata, “Kalau pergi ke Kuala Kubu, tulislah nama di atas batu,” bagi mereka yang pernah bertemu pasangan hidup di situ, tulislah nama Puduraya di dalam kalbu. Banyak yang mulanya bertemu di Puduraya kemudian terus kekal hingga beranak cucu. Tidak kurang juga yang patah hati putus harapan dan Puduraya menyaksikan kepahitan itu.

Penyair Allahyarham Zahari Hasib pernah menulis puisi tentang seorang wanita di Puduraya. Saya bertanya, adakah ia terilham daripada kisah benar? Zahari memberitahu, itu sebuah kisah benar seorang wanita yang dicemar lelaki kota bertekad balik ke kampung bersama anak yang dikandungnya.

Saya juga masih ingat kisah seorang rakan wartawan yang bergayut di telefon awam Puduraya hampir dua jam lamanya. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Apabila dia memberitahu hendak ke pondok telefon di Puduraya, saya dan rakan-rakan lain pun meninggalkan dia.

“Aku rasa boleh cayaq (cair) gagang telefon tu,” kata seorang rakan merujuk kesukaan rakan saya bergayut di telefon awam. Itulah secebis cerita kehidupan ketika muda dulu dan Puduraya disinggah setiap hari kerana bas Tong Fong dari Jalan Chan Sow Lin berakhir di Puduraya.

Paling tidak dapat dilupakan adalah tragedi yang berlaku kepada seorang rakan yang mahu balik berhari raya. Hari itu dua hari sebelum raya. Disebabkan jualan tiket ke utara sudah habis di kaunter, dia membeli tiket daripada ‘ulat tiket’ yang berkeliaran di Puduraya.

Tunggu punya tunggu hingga bas terakhir berlepas dari Puduraya, bas yang dijanjikan tidak juga muncul. Dia mulai cuak dan akhirnya terbukti tiket yang dibeli itu tidak ada bas. Bagaimanapun kerana lambaian kampung halaman, dia mengambil teksi ke Ipoh. Dari Ipoh dia cari bas ke Butterworth kemudian ke Alor Setar. Disebabkan hari raya seranahnya kepada ‘ulat tiket’ bersukat juga.

Puduraya bagai merangkumkan semua rakyat Malaysia – mereka yang menunggu bas untuk ke destinasi masing-masing datangnya dari semua negeri di Semenanjung. Boleh mendengar berbagai-bagai dialek yang menunjukkan penumpang datang dari berbagai-bagai tempat di pelosok negara ini.

Waktu itu Puduraya hanya sepi selepas pukul 2 pagi dan riuh semula seawal pukul 4 pagi. Begitulah kehidupan di Puduraya pada setiap hari. Manusia hilir dan mudik dan Puduraya adalah satu jenama yang melekat di ingatan banyak orang.

Dulunya ketika belum datang ke Kuala Lumpur saya hanya ketawa apabila orang bercerita tentang hebatnya Puduraya. Lingkungan pengalaman saya hanya melihat stesen bas di Kangar dan Alor Setar. Tidak tahu yang Puduraya ada 24 platform dengan 800 perjalanan setiap hari. Puduraya pula boleh menampung 40 bas pada satu-satu masa.

Selain menjadi stesen bas ekspres perjalanan jauh, Puduraya juga antara stesen bas di Lembah Kelang untuk ke Kajang, Sepang, Seremban dan Banting. Laluan ke Seremban menjadi tumpuan pada setiap Sabtu. Banyak penumpang yang berasal dari Negeri Sembilan berulang-alik setiap minggu ke kampung selepas kerja separuh hari pada Sabtu.

Puduraya antara tiga perkara yang membuatkan semua orang ingat tentang Pekan Pudu yang dulunya kecil dan terpencil. Bukan itu sahaja malah tahun 1970-an menjadi senama dengan kegiatan samseng dan kongsi gelap. Selain Puduraya, nama Pudu juga ada pada Penjara Pudu dan Pasar Pudu.

Kini Pekan Pudu sudah membangun dengan pesat dan hilang ciri-ciri sebuah pekan kecil yang klasik – banyak rumah kedai lama. Bagaimanapun dua daripada ikon Pudu – Puduraya dan Penjara Pudu hanya tinggal dalam sejarah.

Puduraya sudah bertukar nama dan wajah menjadi Pudu Sentral pada 27 Ogos 2011. Pelik juga memikirkan sikap sesetengah penguasa kita, sudah ada nama yang cantik, tiba-tiba terselit pula unsur-unsur penjajah menjadi ‘Pudu Sentral.’ Tetapi kini Pudu Sentral juga sudah tidak menjadi stesen bas utama. Bangunan itu tersergam tetapi agak sepi.

Stesen bas ekspres utama berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasek Selatan. Semua perkhidmatan bas ke utara, selatan dan pantai timur berpusat di TBS yang disatukan dengan laluan komuter KTM dan ERL ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Walaupun begitu keberadaan TBS tidak mampu memadamkan nilai sentimental yang terpahat di Puduraya, terutama kepada generasi dekad 1980-an di Kuala Lumpur. Kenangan yang berlatarkan Puduraya sangat tebal dan seperti sebuah kehilangan apabila stesen itu kini hanya tinggal dalam sejarah.

Mereka yang pernah melalui alam orang muda pada tahun 1980-an tentu tidak dapat melupakan stesen bas yang menjadi tempat membuat temu janji. Kedukaan dan kegembiraan silih berganti dan bersulam seli. Kalau dinding dan lantai boleh menjadi saksi, kita pasti dapat melihat kehidupan yang beraneka warna merentas stesen itu. – WILAYAHKU – KU SEMAN KU HUSSAIN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas