Berita

Sudah sampai masa UMNO ketengah calon muda

- Diterbit 23 Ogos 2024 12:14 PM MYT

BEBERAPA pemimpin UMNO bersetuju dengan cadangan agar calon PRK DUN Mahkota diberikan kepada calon orang muda.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata tindakan ketengah calon muda akan memberi satu optik yang betul kepada rakyat.

“Kalau nak beri optik betul pada rakyat, sampai masa ketengahkan orang muda.

“Saya sangat bersetuju untuk UMNO ini ketengahkan orang-orang muda sama ada pemuda ataupun wanita kerana ini adalah komposisi jantina yang akan menguasai parti pada masa akan datang,” katanya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Menurutnya, sudah sampai masanya UMNO tidak menyenaraikan calon-calon yang berumur 60 ke atas.

Beliau berkata jika diberi peluang bertanding dari usia muda, akan memberikan pengalaman jika diberi tanggungjawab dalam mengurus negeri atau negara nanti.

“Saya dulu pun bertanding umur 37 tahun, sampai sekarang saya dapat pengalaman.

“Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dia bertanding umur 42, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Naib Presiden UMNO), dia bertanding umur 28 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas permintaan pergerakan pemuda UMNO agar kerusi DUN Mahkota yang akan dipertandingkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 28 September ini diberikan kepada pergerakan sayap itu.

Ketuanya Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggunakan platform PAU 2024 bagi menyatakan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan dasar ketua pemuda semalam.

Akmal berkata, pemuda UMNO sedia untuk menggalas tanggungjawab itu sekiranya diberi kepercayaan selepas berjaya melaksanakannya dengan sempurna di DUN Nenggiri.

Sementara itu, seorang lagi ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau turut bersetuju jika PRK DUN Mahkota diketengahkan calon orang muda.

Beliau berkata ini berdasarkan suasana terkini selepas kemenangan di PRK Nenggiri.

“Kalau ikut kempen di Nenggiri, saya berpendirian calon mesti muda.

“Sebab saya rasa mood sekarang. Tetapi calon muda mestilah yang tidak ada track record yang buruk,” katanya.

Bagaimanapun, Puad berkata soal calon dari pemuda atau wanita terpulang kepada presiden dan pengerusi perhubungan UMNO untuk menentukannya.

“Jadi saya rasa serah kepada kebijaksanaan mereka,” katanya.

Sabtu lalu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) diumumkan menang pada PRK DUN Nenggiri dengan menewaskan calon BERSATU mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail sekali gus menawan semula kerusi itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas